KUALA LUMPUR – Sejumlah 33 masjid Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dari seluruh negara menerima sumbangan telekung wakaf dari Siti Khadijah Apparel Sdn Bhd (SKA) untuk kegunaan jemaah.

Sumbangan 150 pasang telekung jenama Siti Khadijah itu merupakan bawah inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) SKA itu turut diberikan kepada empat cawangan Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera Malaysia (Bakat).

Pengasas telekung Siti Khadijah, Padzilah Enda Sulaiman, berkata, perlaksanaan itu merupakan kesinambungan CSR yang dibuat sebelum ini melibatkan mangsa-mangsa banjir negeri terlibat.

Menurutnya, pendekatan sumbangan wakaf kepada pihak ATM ini sebagai satu bentuk penghargaan dalam mengenang jasa dan khidmat bakti warga ATM kepada negara.

“Ia dapat memberi kemudahan kepada pegawai-pegawai Muslimah untuk menunaikan ibadah dalam keadaan yang lebih selesa dan sebagai penghargaan kepada warga ATM .

“Dengan adanya program ini juga secara tidak langsung dapat mengeratkan ukhwah antara pegawai ATM dan kakitangan SKA selain dapat menjalin lebih banyak kerjasama pada masa hadapan,” katanya ditemui ketika Program CSR  SKA mewakafkan telekung kepada ATM, di Masjid Khalid bin Al-Walid, Jalan Padang Tembak, di sini, hari ini.

Program disempurnakan Pengerusi Jemaah Tertinggi BAKAT, Puan Sri Norlida Abdul Mubin itu merupakan anjuran bersama SKA, Angkatan Tentera Malaysia diwakili oleh Bakat dan Kor Agama Angkatan Tentera (Kagat).

Sementara itu, Pengarah Kagat ATM, Mejar Jeneral Datuk Kamarudin Mamat, berkata, pihaknya berbesar hati dengan sumbangan wakaf yang diberikan oleh SKA yang disifatkan sebagai satu kelainan yang diterima pihak masjid ATM.

“Kebiasaannya kita menerima sumbangan karpet, khemah dan sebagainya. Sumbangan telekung ini adalah yang pertama diterima untuk masjid-masjid ATM seluruh negara,” katanya.