RAWANG - Sepuluh tahun bukan tempoh singkat buat lebih 2,300 penduduk Desa Puteri di sini menggunakan jalan sempit sebagai laluan utama keluar masuk ke taman perumahan mereka.

Mengikut pelan asal, akses taman perumahan mempunyai susur keluar dan masuk, namun pemaju hanya menyediakan satu susur jalan disebabkan penduduk yang belum ramai sewaktu pembukaan taman.

Pertambahan penduduk dengan bilangan sebanyak 440 unit di sini menyebabkan kemudahan sedia ada tidak sesuai digunakan sekarang dan tiba masa buat pemaju melunaskan baki pelan yang sepatutnya dilakukan lebih awal sebelum taman perumahan itu dibuka.

Wakil penduduk, Zairul Hizat Halim berkata, beberapa kemalangan kecil berlaku di laluan itu disebabkan jalan sempit.

“Saya dah rujuk masalah ini kepada Majlis Perbandaran Selayang (MPS), namun maklum balas diterima adalah jalan ini masih di bawah tanggungjawab pemaju yang belum menyerahkannya kepada MPS.

“Jalan ini hanya 150 meter sahaja bukannya 1.5 kilometer itu pun macam-macam alasan diberikan sejak sepuluh tahun lepas,” keluhnya.

Katanya, jika pelan itu disiapkan lebih awal kos projek lebih rendah berbanding sekarang.

“Kos anggaran semasa berdasarkan maklumat  diterima adalah RM375,000 termasuk penyediaan sistem perparitan.

“Namun, saya yakin kos itu masih mampu dibiayai MPS sekiranya pemaju enggan melaksanakannya,” katanya.

Penduduk, Mohd Kamal Ikbal Ahmad Pakri,32 berkata, dia pernah kemalangan sewaktu menggunakan laluan itu.

“Pada waktu pagi ketika keluar bekerja adalah waktu paling sibuk memerlukan pengguna lebih berhati-hati. Harapan saya agar susur keluar ini dapat disiapkan dalam masa terdekat,” katanya.

Pengerusi Persatuan Penduduk Desa Puteri, Joseph anak Janting melahirkan kesedihan berikutan masalah itu yang berlarutan sepuluh tahun

“Kerajaan negeri dan MPS tak mempedulikan hak kami.. Cukai kami bayar tapi hak kami diabaikan.

“10 tahun kami tunggu susur keluar ini tapi sehingga kini tiada apa-apa tindakan untuk menjalankan kerja di laluan ini,” katanya.

Sementara itu, Adun Kuang, Sallehudin Amiruddin berkata, beliau telah merujuk permasalah itu kepada pemaju.

“Hasil perbincangan, pemaju akan kaji kos  dan menimbangkan pembinaan susur keluar  jika kosnya mampu dibiayai,” katanya.