KUCHING - Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin tiba untuk lawatan kerja dua hari ke Sarawak merupakan yang pertama oleh seorang menteri Persekutuan Pakatan Harapan (Harapan) selepas parti itu menang dalam PRU14.

Ketibaan Zuraida disambut Naib Pengerusi PKR Sarawak, See Chee How, Ahli Parlimen Saratok, Ali Biju dan Ahli Parlimen Miri, Dr Michael Teo Yu Keng bersama hampir 100 penyokong parti itu.

Ahli Parlimen Ampang itu berkata, beliau bersyukur kerana dibenarkan kerajaan Sarawak untuk memasuki negeri ini selepas beberapa kali disekat.

Katanya, kali terakhir beliau dibenarkan masuk ke Sarawak ialah ketika hadir memberi penghormatan terakhir kepada Ketua Menteri Sarawak, Allahyarham Tan Sri Adenan Satem yang meninggal dunia Januari, tahun lalu.

"Rasa terkejut dengan sambutan diterima (malam ini), mereka pun sudah lama tunggu saya masuk ke Sarawak… Kemasukan saya kali ini sebagai menteri, kita ada tugas dan insyaAllah  akan dapat membantu rakyat Sarawak," katanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching di sini kira-kira 7.35 malam tadi.

Esok, menteri itu mempunyai jadual lawatan kerja padat bermula dengan kunjungan hormat kepada Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak, Datuk Dr Sim Kui Hian kira-kira 9.45 pagi.

Beliau kemudian melakukan kunjungan hormat ke atas Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg sebelum mengadakan lawatan kerja ke Majlis Perbandaran Padawan.

Pada sebelah petang, Zuraida dijadual melawat Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sungai Tengah dan  mengadakan lawatan kerja ke Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak sebelum bertolak pulang ke Kuala Lumpur pada sebelah malam. - Bernama