KUCHING – Sebuah pusat pemindahan sementara dibuka di Sebuyau, di bahagian Samarahan, lebih 100km dari sini untuk menempatkan mangsa banjir pada pukul 4 petang ini apabila paras air di Kampung Lutong, Sebangan, sekitar kawasan itu mulai naik sehingga hampir satu meter.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak dalam satu kenyataan malam ini memberitahu bahawa sehingga pukul 8 malam ini pusat pemindahan di Dewan Kampung Lutong itu kini menempatkan 52 orang dari 16 keluarga.

Sementara itu Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak dalam satu kenyataan pula memberitahu petugasnya sedang memantau dengan rapi keadaan banjir di kawasan berkenaan, dan paras air kelihatan semakin menyusut, walaupun cuaca mendung pada sebelah petangnya.

Menurutnya ada juga beberapa ketua keluarga di kawasan itu yang enggan berpindah dengan alasan menjaga keselamatan rumah, namun membenarkan  anak dan isteri bermalam di pusat pemindahan yang disediakan.

Menurutnya lain-lain agensi yang turut memantau dan membantu operasi pemindahan termasuk  anggota pasukan polis, pasukan tentera, Angkatan Pertahanan Awam, Jabatan Kebajikan Masyarakat, petugas Kementerian Kesihatan Malaysia, Rela, pejabat Daerah Sebuyau dan Majlis Daerah Simunjan. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • BATU PAHAT - Ketika daerah Segamat, Mersing dan Kota Tinggi mulai surut, kawasan Sri Medan, di sini, mengalami situasi yang berbeza apabila kawasan berkenaan pula dinaiki air.
  • KUANTAN - Keadaan banjir di daerah Pekan tidak banyak berubah dengan jumlah mangsa masih kekal 102 orang daripada 26 keluarga yang ditempatkan di dua buah pusat pemindahan sementara (PPS) setakat jam 8 malam ini.
  • MUKAH - Kira-kira 1,350 penghuni rumah panjang dan penduduk kampung di kawasan Tanjung Pedada, Sungai Mukah, 27 kilometer dari sini terjejas hubungan darat apabila sebahagian jalan utama menghubungi kawasan itu ditenggelami banjir.
  • MERSING - Banjir di daerah ini pulih sepenuhnya apabila kesemua pusat penempatan sementara (PPS) yang dibuka sejak Khamis lalu ditutup dan mangsa telah dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing, jam 6 petang tadi.
  • JOHOR BAHRU - Jumlah mangsa banjir di tiga daerah negeri ini turun mendadak kepada 289 orang daripada 68 keluarga setakat 3 petang ini berikutan penutupan tujuh pusat pemindahan sementara (PPS).