TAWAU - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan mengumumkan langkah dan tindakan lebih agresif dalam mengatasi isu penyeludupan keluar barang dari Sabah ke negara jiran.

Menterinya Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata kerjasama antara kerajaan pusat dan negeri mengenai isu itu telah dibincangkan melalui pertemuannya dengan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

“Memperketatkan kawalan di sempadan dan menambah kecekapan agensi yang terlibat merupakan antara strategi yang difikirkan.

"Kita telah bincangkan strategi bagaimana kerajaan pusat dan Sabah bekerjsama mengatasi perkara ini. Kita akan maklumkan (strategi) apabila dimuktamadkan," katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Perasmian cawangan TeaLive Tawau di sini hari ini.

Mengenai isu penyeragaman harga barang keperluan di negeri ini pula, Saifuddun berkata kementeriannya bersedia merealisasikan perkara itu.

"Kita mahu harga barang keperluan di pedalaman Sabah (diseragamkan) dengan harga barang di Petaling Jaya atau tempat lain dengan memastikan kos tambahan diserap kementerian,” katanya.

Mengenai majlis pelancaran cawangan TeaLive Tawau yang ke-198, Saifuddin optimis industri francais semakin berkembang pesat di negara ini.

"Walaupun baru beroperasi awal tahun ini, cawangan TeaLive Tawau telah memberi impak yang sangat besar kepada pengguna di sini apabila mencatat jualan yang memberangsangkan," katanya.

Sehubungan itu, beliau menyarankan agar para usahawan tempatan mengambil peluang melibatkan diri dalam perniagaan francais yang dapat memberi pulangan lumayan. - Bernama