KOTA KINABALU - Kedudukan kewangan kerajaan negeri Sabah pada 18 Jun, 2018, menunjukkan wang awam berjumlah RM3.305 bilion, yang mana 48.7 peratus atau RM1.608 bilion daripada jumlah itu dimiliki oleh kerajaan negeri untuk Akaun Hasil Disatukan, kata Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Manakala, baki jumlah itu sebanyak 51.3 peratus atau RM1.696 bilion dipegang untuk Akaun Amanah Disatukan, katanya.

“Kedudukan Modal Kerja Kerajaan Negeri adalah mencukupi untuk menampung bayaran harian yang diperlukan.  

“Liabiliti Kerajaan Negeri terdiri daripada Pinjaman Kerajaan Persekutuan sejumlah RM2.871 bilion dan Bon Terbitan sejumlah RM1 bilion seperti pada 31 Dis 2017,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan Kementerian Kewangan Negeri pada persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah, di sini, hari ini.

Menurut Mohd Shafie, yang juga Menteri Kewangan Negeri, setakat ini, kerajaan negeri tidak mempunyai tunggakan bayaran balik pinjaman kerajaan pusat, yang mana kerajaan negeri diwajibkan untuk membayar balik Bon Terbitan sejumlah RM1 bilion secara bayaran penuh yang akan matang pada 9 Dis 2019.

Di samping itu, katanya, kerajaan negeri memperuntukkan sejumlah RM150.7 juta setiap tahun bagi maksud pembayaran balik pinjaman kerajaan pusat untuk 20 tahun dengan kadar faedah rendah iaitu sifar peratus untuk projek sosial seperti projek bekalan air dan projek pembetungan, dan 4 peratus bagi projek komersial yang diperoleh melalui KKIP Sdn Bhd dan Saham Sabah Bhd.

Mohd Shafie turut memberitahu kerajaan negeri akan mengadakan usaha berterusan untuk berunding dengan kerajaan pusat bagi menuntut pemberian khas sebanyak 40 peratus hasil bersih yang diperoleh Sabah selaras dengan hak negeri itu di bawah perlembagaan.

“Saya difahamkan oleh pegawai-pegawai saya di Kementerian Kewangan bahawa sebelum ini, satu Jawatankuasa Khas Kajian Semula Pemberian Khas Negeri Sabah telah dijadikan platform untuk kedua-dua kerajaan (kerajaan negeri dan pusat) membincangkan perkara ini dengan lebih lanjut dan teliti.

“Kerajaan negeri sedang mengkaji perkara ini dan jika didapati sesuai, jawatankuasa yang telah diwujudkan itu akan diaktifkan semula untuk membolehkan rundingan di antara kedua belah pihak diteruskan,” katanya.

Mohd Shafie juga berkata kerajaan negeri akan meneruskan rundingan dengan kerajaan pusat untuk mengkaji semula penambahan royalti petroleum daripada lima peratus ketika ini kepada sekurang-kurangnya 20 peratus. -Bernama