TAWAU - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Tawau menggagalkan cubaan dua lelaki warga Filipina untuk menyeludup keluar minyak petrol ke negara jiran di perairan sungai Kinabutan, malam tadi.

Pengarah Maritim Daerah, Kapten Maritim Romli Mustafa berkata kru bot ronda maritim yang sedang menjalankan tugas rondaan di sektor tanggungjawab telah mengesan dan menahan sebuah bot pam disyaki menuju ke Bongao, Filipina, kira-kira jam 8.40 malam.

"Hasil pemeriksaan awal mendapati juragan lelaki dan awak-awak masing-masing berumur 35 dan 40 tahun itu gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah.

"Selain itu, mereka didapati membawa muatan 15 tong jerikin berisi minyak petrol dianggarkan bernilai RM7,350," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Romli berkata, siasatan juga mendapati bot pam itu telah memasuki perairan negara beberapa hari lepas dan disyaki turut menyeludup masuk pendatang asing tanpa izin (Pati).

"Mereka juga menunggu dan mengambil peluang untuk balik ke Filipina dengan membawa bekalan minyak tanpa kebenaran dan disyaki membawa ke Bongao dari Batu 4, Tawau melalui laluan perairan yang tidak diwartakan," katanya.

Katanya, bot, tangkapan serta barang rampasan diiring dan dibawa masuk ke jeti Maritim Malaysia Tawau untuk disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 serta Akta Kawalan Bekalan 1961.

Beliau berkata pihaknya akan terus meningkatkan rondaan bagi membanteras aktiviti penyeludupan dari semasa ke semasa dan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat menyalahi undang-undang di perairan Malaysia dan kecemasan di laut sila hubungi talian 24 jam MERS 999 atau bilik operasi DM18, Tawau di 089-752115.- Bernama 

 
 
Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUANTAN - Kira-kira 1,000 pemilik motosikal berpeluang mengisi petrol secara percuma menerusi program 'Jom Petrol Percuma' sempena sambutan Hari Malaysia di sini semalam.
  • SEMPORNA - Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerusi Markas Angkatan Tugas Bersama 2 (MK ATB 2) menggagalkan cubaan dua lelaki warga Filipina menyeludup masuk 640 karton rokok jenama ASTRO dari Filipina ke daerah ini yang menggunakan dua bot di perairan Mantabuan dekat sini, malam tadi.
  • TUMPAT - Dua bot nelayan bersama 2,300 liter minyak diesel dirampas Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga Pengkalan Kubor di sungai Geting semalam.
  • KUANTAN - Pasukan Polis Marin Wilayah Tiga Kuantan berjaya merampas 633 guni beras seludup seberat 31,650 kilogram dalam Operasi Gelora Khas Siri 3 yang diadakan selama 10 hari di sempadan Thamal berdekatan Sungai Golok.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.