SIBU - Polis Sibu sedang memburu seorang lelaki berusia 30-an bagi membantu siasatan kes pembunuhan seorang warga emas dalam kejadian di sebuah rumah di Pulau Kerto di sini, tiga hari lalu.

Ketua Polis Daerah Sibu Asisten Komisioner Stanley Johnathan Ringgit berkata suspek dipercayai rakan kepada seorang anak mangsa.

“Kita masih menyiasat punca dan motif pembunuhan itu,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, Ting Poh Sing, 58 ditemui mati dalam keadaan terbaring di atas lantai di dalam sebuah bilik di rumah kampung dua tingkat itu dengan keadaan kaki dan tangan diikat serta mulutnya ditekup dengan tuala.

Mayat mangsa yang dipercayai dibunuh antara 6 pagi Selasa lalu dan 7 malam semalam ditemui oleh kakak dan anak saudaranya yang pergi ke rumah tersebut pada 7.10 malam semalam. -Bernama