KUCHING – Kerajaan negeri memberikan tumpuan kepada Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) seperti yang dirancangkan sebelum ini agar rakyat dapat menikmati perubahan yang positif dari segi infrastruktur asas.

Tumpuan utama kerajaan negeri pada ketika ini adalah untuk mengatasi masalah bekalan air bersih di kawasan luar bandar.

Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, kerajaan negeri telah peruntukkan sebanyak RM5 juta setahun untuk Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) di setiap kawasan.

“Adalah menjadi teras kerajaan negeri untuk membangunkan kawasan luar bandar agar penduduk luar bandar  dapat manfaatnya.

“Oleh itu wakil rakyat di setiap kawasan haruslah memastikan setiap projek yang telah diluluskan  dan dilaksana berjalan dengan lancar,”katanya.

Beliau yang juga Pengerusi PBB berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi Parti Bumiputera Bersatu (PBB) di sini hari.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai projek Sistem Transit Aliran Ringan (LRT), Abang Johari berkata projek tersebut ditangguh buat sementara waktu bagi memberi laluan kepada projek pembangunan luar bandar.

“Saya tidak menafikan projek LRT ditangguhkan, cuma peruntukkan yang sedia ada disalurkan untuk pembangunan luar bandar dahulu. Apabila semua projek luar bandar telah dilaksanakan sepenuhnya, kerajaan negeri akan meneruskan projek LRT seperti yang dirancang sebelum ini,”katanya.

Projek LRT yang dirancang sebelum ini menghubungkan bahagian Kuching, Samarahan dan Serian bagi menambah baikan sistem pengangkutan awam disamping menangani kesesakan trafik di ketiga-tiga bahagian tersebut. - Bernama