SELINSING - Jabatan Perikanan Perak menggalakkan 534 pengusaha pukat kenka dua bot di daerah Kerian mewujudkan satu konsortium dalam kalangan mereka bagi menaik taraf perkakas dan bot sesuai dengan keperluan bot Zon C.

Pengarahnya, Zaki Mokri berkata, saranan itu dilaungkan terhadap kesemua pengusaha bot lebih dikenali pukat Apollo di daerah ini memandangkan pihaknya percaya sumber perikanan di kawasan tangkapan ikan Zon C atau zon pukat tunda masih banyak.

Menurutnya, sehingga kini, terdapat beberapa siri pertemuan diadakan antara pihak jabatan, pengusaha bot pukat Apollo dan Exco Pertanian dan Perladangan, Abdul Yunus Jamhari bagi membincangkan masa depan pengusaha bot pukat itu selepas ianya dihapuskan sepenuhnya pada 2020.

"Sebagaimana dimaklumkan sebelum ini, Jabatan Perikanan sudah memuktamadkan keputusan menghapuskan lesen bot pukat Apollo pada 2020.

"Justeru dalam beberapa siri pertemuan sebelum ini, pihak jabatan mengenal pasti terdapat tiga opsyen yang boleh diambil pengusaha bot pukat Apollo selepas 2020 bagi menangani kesan pemansuhan lesen pukat itu kelak," katanya kepada media pada majlis perlepasan 10,000 benih ikan siakap di Jeti Perikanan Kampung Sungai Baru, di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Daerah Perikanan Kerian, Hamidon Ahmad.

Zaki berkata, opsyen pertama adalah sama ada pengusaha bot pukat kenka menukar peralatan bersesuaian seperti pukat hanyut atau pukat tradisional untuk mereka kekal menangkap ikan di zon bot mereka dibenarkan ketika ini iaitu lima hingga 12 batu nautika.

Menurutnya, opsyen yang kedua pula adalah pengusaha bot pukat Apollo terbabit menukar peralatan dan perkakas yang bersesuaian dengan keperluan bot Zon C yang melibatkan kawasan 15 batu nautika ke atas dengan bot dan enjin lebih besar perlu digunakan.

"Ataupun opsyen ketiga mereka keluar sepenuhnya dari industri perikanan dan menceburi bidang lain seperti ternakan ikan sangkar dan ikan hiasan.

"Ketiga-tiga opsyen ini sudah dicadangkan kepada mereka dan ada sebahagian mereka bercadang menubuhkan satu konsortium bagi menggembleng modal membeli perkakas dan bot bersesuaian dengan Zon C.

"Mungkin kos pembelian bot Zon C menggunakan pukat tunda lebih mahal dan tinggi, namun pihak jabatan yakin masih banyak sumber perikanan yang boleh diperolehi di kawasan zon perikanan itu meliputi 15 batu nautika ke atas," katanya.

Zaki berkata, atas keyakinan itu Jabatan Perikanan Perak menggalakkan lebih banyak pengusaha bot pukat kenka atau Apollo bekerjasama sesama mereka dengan mewujudkan satu konsortium bagi mengusahakan bot Zon C.

Menurutnya, sekiranya terdapat beberapa pengusaha yang sudah mencuba dan terbukti mampu meraih hasil perikanan lebih banyak, beliau yakin trend itu akan diikuti rakan mereka lain.

"Buat masa ini, pihak jabatan melihat cadangan konsortium itu sebagai solusi terbaik menangani hala tuju masa depan 534 pengusaha bot pukat kenka di daerah Kerian," katanya.