BUKIT CHANDAN - Kisah penipuan wang melibatkan transaksi atas talian acapkali dilaporkan sebelum ini malah ramai awam tertipu dan kerugian mencecah ribuan ringgit.

Lazimnya, mereka menggunakan modus operandi yang sama, meminta mangsa membayar sejumlah wang bagi membolehkan urusan perpindahan wang ke akaun mangsa diluluskan pihak bank.

Namun, kes menimpa Mohamed Jalaludin Mohamed Ibrahim, 22, agak mengejutkan kerana bukan saja dia nyaris ditipu dengan taktik sebegitu malah 'scammer' mengugut untuk membunuhnya sekeluarga selepas tembelangnya pecah.

Menurutnya, lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai 'Mr Paul' itu berulang kali mengatakan mahu membunuh keluarganya selepas Mohamed Jalaludin enggan membayar wang diminta.

"Saya muat naik iklan jual barang dalam satu laman sesawang popular pada 30 November lepas. Petang saya iklankan, malam itu Mr Paul terus hubungi saya mengatakan berminat untuk membeli barang saya jual.

"Harganya RM 1,000 dan dia bersetuju. Dua hari kemudian dia beritahu telah masukkan wang berjumlah RM1,400 dan katanya RM400 adalah caj dari bank dan minta saya masukkan dulu wang itu ke akaunnya sebelum saya dapat wang saya.

"Bila saya tanya rakan, mereka kata itu adalah taktik penipuan dan bila saya periksa akaun, memang tiada wang langsung. Jadi, saya beritahu Mr Paul saya sudah tahu taktiknya dan dia agak marah," katanya.

Tambahnya, lelaki itu kemudiannya beberapa kali menghantar mesej kepadanya mengugut mahu datang ke rumah dan bunuh keluarganya malah mengatakan mahu membawa perkara itu kepada FBI.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :