PANGKOR - Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) menyita dua kereta yang dipercayai menjalankan kegiatan kereta sapu tanpa lesen di hadapan Jeti Pulau Pangkor di sini, dalam Ops Tegas pagi semalam.

Jurucakap SPAD, berkata, pihaknya terpaksa menyamar sebagai orang awam bagi mengenalpasti kegiatan yang dilakukan.

Menurutnya, dua kereta berkenaan iaitu kereta jenis Proton Wira ditahan pada jam 10.20 pagi.

"Modus operandi yang digunakan adalah dengan menunggu dan memujuk pelancong yang keluar dari feri untuk menawarkan perkhidmatan kereta sewa dengan bayaran RM80 sehari.

"Dua kenderaan yang disita ini  akan dibawa keluar dari Pulau Pangkor dan akan ditempatkan di Stor Sitaan di Jelapang, Ipoh.

"Kes ini akan disiasat mengikut Seksyen 16 Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010 iaitu mengadakan suatu perkhidmatan kenderaan perkhidmatan awam tanpa lesen pengendali," katanya.

Ops Tegas itu melibatkan sepasukan 15 anggota dan pegawai penguat kuasa diketuai Pegawai

Operasi Zon Tengah SPAD, Mohd Rozairi Abd Hamid, yang menyasarkan perkhidmatan kereta sapu hasil aduan awam.

Katanya, kenderaan yang disita itu akan dibawa ke Balai Polis Pulau Pangkor terlebih dahulu untuk tujuan dokumentasi.

"Kenderaan bersama pemandu akan dibawa ke Balai Polis Pangkor bagi tujuan dokumentasi sebelum dua lelaki itu dibebaskan selepas proses dokumentasi selesai," katanya.