SERI ISKANDAR - Anak-anak muda tempatan di daerah ini disaran mengambil peluang untuk turut serta dan memberi sokongan kepada sukan permotoran Malaysian Rally Of Perak yang diadakan di sekitar daerah Perak Tengah dan Manjung.

Adun Bota, Datuk Nasarudin Hashim berkata, pemilihan Seri Iskandar sebagai tuan rumah amat bertepatan bagi membantu memperkenalkan kawasan itu kepada lebih ramai pengunjung luar.

Menurutnya, pembangunan di kawasan Seri Iskandar boleh dikatakan agak rancak dan seharusnya ada alternatif tertentu dilaksanakan bagi melancarkan lagi proses berkenaan.

“Salah satunya melalui sukan lumba kereta ini yang secara tidak langsung boleh membantu mempromosikan lagi tempat ini.

“Orang luar boleh melihat apa potensi yang ada dan apa boleh diperoleh di kawasan Seri Iskandar jika mereka berkunjung ke sini,” katanya pada Majlis Penyampaian Hadiah Malaysian Rally itu di hadapan Pasaraya Billion, kelmarin.

Nasarudin berkata, sukan itu juga turut memberi peluang kepada anak-anak muda tempatan untuk turut serta dan bukan sekadar menjadi penonton sahaja.

“Sukan ini ada potensi baik, mereka (anak-anak muda) seharusnya mengambil peluang ini untuk melihat lebih dekat dan siapa tahu mungkin mereka juga boleh menjadi salah satu pesertanya kelak.

“Seri Iskandar juga sudah dua kali menjadi tuan rumah dan kita harap penduduk di sini gunakan peluang yang ada sebaik mungkin supaya melalui sukan ini menjadi titik permulaan untuk menarik lebih ramai pengunjung datang berulang kali,” katanya.

Nasarudin berkata, pihak penganjur boleh memikirkan untuk meneruskan Seri Iskandar menjadi tuan rumah bagi sukan itu pada tahun akan datang.

Malaysian Rally yang disertai oleh 23 pelumba itu melibatkan jarak perlumbaan sejauh 359 kilometer melalui litar perlumbaan di Gelung Gajah dan Bukit Kota.

Sukan itu adalah anjuran Majlis Daerah Perak Tengah dengan kerjasama kerajaan negeri dan Wheel Sport Management Sdn Bhd.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.