GOPENG - Penduduk di enam perkampungan Orang Asli Ulu Geruntum menuntut Pakatan Harapan melunaskan janji untuk menghentikan projek hidro elektrik mini yang menjadi konflik kepada mereka sejak 2011 lalu.

Wakil penduduk, Azlan Bah Derngui, 50, berkata, sebelum pilihan raya, lebih 1,000 penduduk di kawasan itu diberikan harapan, bahawa projek terbabit akan ditamatkan sekiranya Pakatan menjadi kerajaan.

Bagaimanapun menurutnya, sepanjang tempoh tiga bulan ini, belum ada sebarang perkembangan dimaklumkan kepada penduduk berhubung status projek berkenaan.

"Keadaan di sini masih sama, walaupun projek ini dihentikan sementara, tetapi tiada jaminan keseluruhan bahawa ia akan dihentikan terus.

"Sekarang Pakatan Harapan sudah menjadi kerajaan, begitu juga calon mereka dari PKR di kawasan ini, tiada salahnya kami mahu menuntut janji yang diberikan.

"Apa pun alasan nanti, kami semua memang sepakat tidak mahu projek ini diteruskan, bantahan tetap akan dibuat...apa nak jadi pun jadilah," katanya.

Seorang lagi penduduk,  Wahngah Bah Tangoi, 61, berkata, selama ini, penduduk di situ banyak bergantung harap kepada keprihatinan pembangkang (ketika itu) dalam menyuarakan bantahan mereka.

Katanya, bantahan demi bantahan dilakukan hingga masuk tahun ketujuh ini masih tiada kesudahan.

"Jika kerajaan baru sekarang masih tidak prihatin dengan keadaan ini, kepada siapa lagi kami mahu mengadu. Kami Orang Asli tidak ada pelajaran seperti masyarakat di luar sana, ini sajalah tempat untuk diwarisi anak cucu," katanya.

Mereka ditemui pada lawatan kerja Exco Kerajaan Negeri, Asmuni Awi bersama jabatan kerajaan dan wakil syarikat, semalam.

Turut serta, Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka) Perak diketuai pengerusinya, Sajeeda Muhammad.

Bantahan diteruskan meskipun hingga kini belum ada kata putus diberikan kerajaan berhubung projek terbabit.

Projek yang dicadangkan kerajaan  Perak pada 2012 melalui Perak Hydro Renewable Corporation Sdn Bhd itu dibangunkan bagi mengurangkan kebergantungan terhadap sumber mineral seperti arang batu untuk tujuan penjanaan tenaga elektrik.

Bantahan penduduk Kampung Sungai Kapur, Kampung Sat, Kampung Ampang Main, Kampung Poh, Kampung Padang Berliku dan Kampung Ulu Geruntum dibuat selepas mengambil kira kesan projek terhadap alam sekitar, kemusnahan tanaman yang  menjadi sumber pendapatan penduduk juga kerosakan tanah perkuburan nenek moyang.

Asmuni berkata, pihaknya akan membuat penilaian rapi berhubung status projek itu selepas mendapatkan maklumat daripada kedua-dua pihak.

Menurutnya, laporan lengkap kemudiannya dibawa ke Mesyuarat Exco sebelum kata putus dicapai.

"Ini kerana satu pihak mengatakan kerosakan pokok adalah sedikit, sementara pihak lain  kata banyak, jadi  kita tak boleh buat keputusan berdasarkan pandangan satu pihak sahaja, untuk lebih adil kita akan nilai dari kedua-duanya," katanya.

Mengenai tuntutan agar projek berkenaan diberhentikan, beliau berkata, janji yang disebutkan itu bukan sebahagian daripada manifesto Pakatan Harapan Perak.

"Ianya lebih bersifat lokal manifesto, namun kita di pihak kerajaan akan mengkajinya dari semua aspek," katanya.