• Nolee Ashilin (kanan) turut bersama-sama mengutip sampah bagi membanteras wabak Denggi sempena program gotong-royong, semalam. Nolee Ashilin (kanan) turut bersama-sama mengutip sampah bagi membanteras wabak Denggi sempena program gotong-royong, semalam.
1 /

IPOH - Kawasan Kinta menunjukkan peningkatan tertinggi iaitu 870.5 peratus bagi jumlah kes Denggi dengan 427 kes dalam tempoh 1 Januari hingga 1 Februari 2014 berbanding 44 kes dalam tempoh sama tahun lalu.

Exco Kerajaan Negeri, Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata, daripada peningkatan tersebut, jumlah wabak dalam tempoh itu adalah 28 manakala lima wabak masih aktif. Bagaimanapun, kesemua wabak masih terkawal.

Menurutnya, peningkatan sebanyak 870.5 peratus sememangnya agak tinggi namun dalam tempoh tiga atau empat tahun akan ada waktu kemuncak dan selepas itu jumlah berkenaan akan menurun.

“Jika dibandingkan peningkatan tersebut, pada 2008 menunjukkan peningkatan waktu kemuncak paling tinggi berbanding tahun ini.

“Semua orang perlu memainkan peranan masing-masing untuk membantu menghapuskan tempat pembiakan Aedes seterusnya mengurangkan jumlah kes Denggi di negeri ini,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Gotong Royong Perdana di Rapat Setia, semalam.

Hadir sama, Pegawai Daerah dan Tanah Batu Gajah, Datuk Jamry Sury dan Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri, Datin Dr Ranjit Kaur.

Nolee Ashilin berkata, orang ramai perlu mencari dan memusnahkan tempat pembiakan nyamuk di sekeliling rumah setiap hari supaya nyamuk tidak dapat membiak.

Beliau berkata, sikap bertanggungjawab mampu mencegah penularan wabak Denggi ke kawasan perumahan masing-masing pada masa sama memberi kesedaran kepada masyarakat bahawa bahayanya Denggi sehingga boleh membawa maut.

“Di Perak, sehingga 1 Februari 2014, jumlah kes Denggi adalah 690 kes iaitu peningkatan sebanyak 243.3 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu iaitu 230 kes.

“Dalam tempoh sama, terdapat tiga kes kematian Denggi dilaporkan berbanding tiada kes untuk tempoh sama pada 2013,” katanya.