IPOH - Geng 04 dan 08 dipercayai bergiat aktif semula dengan menjadikan peniaga di sekitar Buntong, Menglembu dan Taman Pertama (First Garden) sebagai sasaran untuk mengutip wang perlindungan bagi mengelak daripada diganggu kumpulan berkenaan.

Selain menconteng papan tanda dengan angka 04 dam 08 bagi menunjukkan kawasan ‘jajahan’ masing-masing, difahamkan geng berkenaan turut mengutip wang perlindungan berjumlah RM2,000 di medan selera, kedai dan kilang di sekitar kawasan terbabit.

Keadaan itu menimbulkan kebimbangan kalangan peniaga sekiranya ahli kumpulan berkenaan bertindak ganas jika arahan tidak diikuti.

Beberapa peniaga turut mendakwa mereka pernah menemui polis untuk meminta bantuan, namun tidak diendahkan, ada dalam kalangan peniaga yang ingin membuat laporan mengenai perkara itu disuruh untuk menyelesaikan masalah itu sendiri tanpa bantuan polis.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Azisman Alias meminta orang awam yang dakwa polis tidak menerima laporan dibuat agar memaklumkannya kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh untuk tindakan lanjut.

Menurutnya, menjadi satu kesalahan jika anggota polis tidak menerima laporan yang ingin dibuat orang awam.

“Kami sering menjalankan pemantauan ke atas kumpulan yang dipercayai mempunyai elemen gengster dari semasa ke semasa.

“Bagaimanapun, tohmahan yang mengatakan polis melindungi gengster adalah satu perkara serius dan orang awam sepatutnya tidak boleh membuat kesimpulan sebaliknya membuat laporan agar siasatan lanjut dapat dijalankan,” katanya.

Beliau ditemui dalam Program Kepolisan Komuniti (C-Cop) anjuran Balai Polis Kuala Kuang di sini, semalam.

Sehubungan itu, Azisman berkata, bagi pengadu yang mendakwa laporan mereka tidak dilayan diminta supaya mengambil nombor anggota bertugas, masa, tarikh dan tempat ia berlaku agar pihaknya dapat menjalankan siasatan ke atas perkara itu.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • IPOH - Sebanyak 50 peratus daripada 146 pusat tahfiz yang diperiksa Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, tahun lalu didapati tidak selamat.
  • IPOH - Lima lelaki leka memasak dan membungkus daun ketum dikejutkan dengan serbuan sepasukan polis dari Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Daerah di sebuah rumah di Taman Pakatan Jaya, di sini, semalam.
  • IPOH - Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) telah menjalankan tindakan penguatkuasaan terhadap empat peniaga durian di hadapan Gerai Limau Bali di Jalan Raja Nazrin Shah selepas didakwa menyebabkan kesesakan lalu lintas.
  • IPOH - Keberanian seorang kanak-kanak perempuan menyelamatkan tiga adiknya dalam satu kebakaran rumah, September tahun lalu mendapat pengiktirafan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak apabila dianugerahkan sijil penghargaan ‘Wira Cilik’ sempena Perbarisan Tahunan 2018, hari ini.
  • IPOH - Dua penjenayah bukan sahaja melarikan wang tetapi sempat mengambil sebotol minyak rambut, dua botol deodoran dan sebungkus kuaci dalam kejadian samun di sebuah kedai serbaneka, Jalan Silibin, Taman Alkaf di sini, malam tadi.