IPOH - Polis berjaya mematahkan aktiviti pengedaran dadah sekitar Ipoh dan Batu Gajah dengan penahanan tiga lelaki bersama pelbagai bahan terlarang bernilai RM127,681, sejak Jumaat lalu.

ketiga-tiga suspek berusia 32 hingga 55 tahun itu ditahan oleh sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri.  

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Negeri, Asisten Komisioner R Ravi Chandran berkata, serbuan pertama kira-kira jam 10.40 malam itu telah menahan peniaga pasar malam berusia 55 tahun di sebuah rumah kedai  di Batu Gajah Perdana, Batu Gajah.

Menurutnya, hasil pemeriksaan ke atas suspek telah menemui 9 peket plastik mengandungi heroin seberat 3.8 kilogram yang bernilai RM116,340.

“Serbuan kedua pada Sabtu lalu menahan seorang lelaki berusia 32 tahun di Taman Desa Aman, Pasir Puteh. Hasil pemeriksaan kenderaan menemui 80 peket disyaki estacy seberat 0.8 kilogram.

“Nilai keseluruhan dadah terbabit bernilai RM6,841.70. Suspek yang tidak bekerja itu didapati negatif ujian urin serta tidak mempunyai rekod lampau,” katanya dalam sidang media di IPK Negeri di sini, hari ini.

Ravi Chandran berkata, kejayaan ketiga diteruskan dengan menahan seorang lelaki berusia 41 tahun dalam keadaan mencurigakan di kawasan rumah kedai di Taman Canning.

“Hasil pemeriksaan ke atas suspek menemui 300 biji eramin 5 bernilai RM4,500. Turut disita sebuah Proton Iswara milik suspek bernilai RM3,000.

“Ujian saringan urin mendapati suspek positif dadah jenis ketamin dan mempunyai dua rekod lampau dalam kesalahan berkaitan dadah,” katanya.

Katanya, semua suspek direman selama tujuh hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya 1952.