• Buaya disangka ikan besar Pukat tunda yang digunakan Kok Hwa sehingga menjerut buaya tembaga ‘sesat’ di perairan Kuala Sepetang, kelmarin.
  • Buaya disangka ikan besar Kok Hwa menunjukkan jarak kepanjangan buaya tembaga mencapai sepuluh kaki yang ditangkapnya di tengah perairan Kuala Sepetang, kelmarin.
1 /

KUALA KURAU - Seorang nelayan terkejut apabila pukat yang disangka berat dengan hasil tangkapan rupa-rupanya menjerut seekor buaya tembaga berukuran tiga meter di tengah lautan.

Buaya yang sudah mati itu ditemui Tan Kok Hwa, 41, ketika sedang menangkap ikan bersama tiga rakan lain di perairan Kuala Sepetang, Taiping lebih kurang jam 8 pagi kelmarin.

Kok Hwa berkata, pada hari kejadian, dia bersama tiga rakan lain turun ke laut untuk menangkap ikan dengan menaiki dua bot pukat ke sekitar kawasan perairan Kuala Kurau hingga ke perairan Kuala Sepetang.

“Lebih kurang jarak enam batu nautika dari persisiran pantai, kami mula merasakan pukat tunda yang dipasang pada dua bot yang dinaiki mula menjerut hasil setelah ianya kelihatan padat.

“Sebelum pulang ke jeti Bagan Seberang, di sini, seperti biasa kami menaikkan pukat tunda yang dipasang ke atas bot dengan menggunakan mesin lebih kurang jam 2 petang untuk melihat hasil tangkapan.

“Bagaimanapun kami terkejut apabila mendapati bangkai buaya sepanjang sepuluh kaki berada di dalam gulungan pukat bersamahasil tangkapan lain,” katanya sewaktu ditemui media di rumahnya di Kampung Bagan Seberang, di sini semalam.

Kok Hwa berkata, pada mulanya dia bersama tiga rakan lain terkejut dan menjadi panik kerana menyangka buaya itu masih hidup dan sedang ‘tidur’.

Bagaimanapun, mereka menarik nafas lega setelah buaya itu tidak bergerak walaupun ditekan dengan kayu dan mengambil keputusan untuk melepaskan semula bangkai haiwan itu ke dalam laut.

“Sepanjang pengalaman menjadi nelayan selama 20 tahun, kejadian menangkap buaya di tengah perairan laut merupakan kejadian kali pertama berlaku dalam hidup saya.

“Saya tidak menolak kemungkinan haiwan itu mungkin tersesat daripada habitat asalnya sehingga menyebabkannya berada di lautan dan saya turut menghubungi Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk memaklumkan kejadian itu,” katanya.