• hak tanah
1 /

TEBUK PANCHUR - Cukai tanah saban tahun tetap dibayar, namun pulangan tiada menyebabkan 40 penduduk Kampung Tersusun Tebuk Panchur Simpang Empat, di sini, tidak tahan dan mempersoalkan hak mereka sebagai pemilik.

Penduduk turut mempersoalkan status tanah yang dimiliki disebabkan sehingga kini masih tidak selamat untuk didirikan rumah kerana keadaan berbukit dan berbatu kapur.

Wakil pemilik geran, Abdul Hamid Salleh, 60, berkata, kawasan tanah itu dibuka sekitar tahun 1990 dan didaftarkan pada 15 Februari 1990 dengan keluasan setiap tapak anggaran 50x300 meter.

Menurutnya, setiap pemilik atau penama tapak dikehendaki membayar premium sebanyak RM800 namun, sehingga kini ia belum dapat didirikan rumah.

“Bayangkan setiap tahun kami terpaksa membayar cukai tanah.

“Sampai bila kami perlu membayar sedangkan tapak tanah yang diberikan ini tidak boleh dibina rumah dan dilihat tidak mempunyai apa-apa faedah kepada kami,” katanya.

Pemilik geran, Bakar Cha, 54, berkata, kawasan tanah itu berada di atas bukit batu kapur selain menjadi pengadang banjir untuk Tasek Bukit Merah.

Katanya, penduduk sudah berjumpa dengan pegawai yang terlibat namun, mereka meletakkan syarat.

“Kami perlu sediakan kertas siasatan dan surat pengesahan ujian kekuatan tanah sebelum dibina perumahan bagi mengelakkan kejadian yang tidak dingini berlaku.

“Kami berharap pihak yang terlibat segera meluluskan status tanah ini agar dapat diratakan kawasan bukit batu kapur untuk pembinaan rumah,” katanya.

Sementara itu, Ketua Kampung Tebuk Panchur, Ketua Sahrudin Mujini berkata, pihak berwajib diminta menyelesaikan segara masalah penduduk agar dapat memberi manfaat kepada mereka.

“Sudah banyak aduan diterima sejak 22 tahun lalu, namun masalah tanah masih juga tidak selesai.

“Kita bersimpati dengan penduduk yang saban tahun menanti kelulusan untuk membina rumah bagi kemudahan anak cucu mereka pada masa hadapan,” katanya.

JKKK Tebuk Panchur, Faizul Redzuan Abd Samat, berkata, dia sudah penat membawa isu itu ke pihak bertanggungjawab kerana tindakan yang dilakukan seperti melepaskan batuk di tangga.

“Sebelum ini saya sudah menyiarkan masalah penduduk di beberapa akhbar tempatan namun, keadaan masih serupa.

“Laungan rakyat didahulukan tidak juga direalisasikan terutamanya di kawasan desa,” katanya.

Katanya, diharap pihak atasan mengambil tindakan segera selain meluluskan untuk meratakan kawasan bukit batu kapur itu.

“Jika tidak, pindahkan sahaja penama geran ini ke kawasan tanah lapang lain yang dirasakan lebih sesuai.

“Penduduk kini hanya terus membayar cukai tanah tanpa mendapat pulangan yang sepatutnya,” katanya.