KUALA TRIANG - Kehadiran rombongan Ziarah Kasih, anjuran Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) dengan kerjasama Pejabat Penerangan Negeri disambut dengan perasaan teruja oleh penerima yang tinggal di kampung ini.

Timah Seman, 90, gembira dengan kunjungan itu yang membawa sumbangan bekalan makanan, yang kini tinggal berdua sahaja bersama anak saudaranya.

Difahamkan, Timah bukan sahaja masih belum berkeluarga malah dikategorikan sebagai OKU yang mempunyai masalah fizikal pada tubuhnya.

“Terima kasih sudi datang jenguk makcik. Tak ada apa-apa dalam rumah ni nak dijamu...” katanya.

Difahamkan Timah menerima bantuan kewangan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi menyara kehidupannya.

Sementara itu, seorang lagi penerima, Azura Taip, 48, yang mengidap strok pada seluruh tubuh sebelah kanannya kini perlu menjaga adiknya, Kamaliah, 45, sepenuh masa serta dibantu adik-beradik yang lain.

Katanya, sejak ibu mereka meninggal, dia yang bertanggungjawab menjaga adiknya yang OKU itu setiap masa memandangkan adik-beradik lain sudah berkahwin dan mempunyai komitmen masing-masing.

“Tapi, ada kakak yang datang untuk bantu. Mandikan adik, dan masak untuk kami. Duit JKM yang adik dapat, saya minta kakak yang uruskan segalanya. Sebelum ini, memang ada yang ziarah dan bantu kami serba sedikit. Syukur... kali ni, masih ada yang prihatin dan simpati dengan kami,” katanya.

Pada kunjungan itu, Adun Guai, Datuk Nor Azali Sulaiman turut turun padang untuk bertemu dengan penduduk di sini.

“Pihak KKMM dan Pejabat Penerangan telah menziarahi beberapa penerima yang uzur, sama ada yang sakit atau sakit tua, OKU dan sebagainya.

“Sebelum ini, saya sendiri sudah menziarahi mereka dan ini adalah kunjungan biasa yang saya lakukan setiap minggu di kawasan Dun Guai.

Malah, saya juga akan maklum pada mereka, sekiranya memerlukan sebarang bantuan, mereka boleh menghubungi saya,” katanya.

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.