PEKAN - Seorang warga emas cedera parah apabila bertindak dengan berpaut pada cermin kereta bahagian penumpang untuk menghalang penyamun yang melarikan Toyota Avanza miliknya, hari ini.

Muhammad Ashari Ab Aziz, 26, berkata, ayahnya, Ab Aziz Mohd, 52, mengalami patah lutut kanan, paha kiri koyak dan luka pergelangan tangan kiri serta tangan kiri selepas di samun dua lelaki ketika mencari durian di kebunnya di Pulau Manis, di sini.

Menurutnya, bapanya mengalami kecederaan itu akibat penyamun itu memecut kenderaan sehingga menyebabkan ayah diseret beberapa meter.

“Kejadian itu berlaku pada jam 8.15 pagi tadi. Perkara ini disedari ayah dan emak ketika sedang mengutip durian di kebun sebelum terdengar bunyi enjin kenderaan dihidupkan.

“Ayah kemudian mengejar dan memecahkan cermin bahagian penumpang dengan menggunakan parang lalu berpaut pada pintu kenderaan,” katanya ketika dihubungi.

Dalam pada itu, Muhammad Ashri berkata, penyamun itu tidak memberhentikan kenderaan dan terus mengheret ayah sebelum ayahnya terpaksa melepaskan tangannya kerana bimbang dengan keselamatan.

Katanya, penyamun itu turut membawa lari wang tunai RM900 bersama telefon bimbit milik emak yang berada di dalam kenderaan berkenaan.

“Sampai mati sekalipun saya tidak akan maafkan ‘sampah masyarakat’ dan berharap dapat ditangkap dengan segera.

“Keadaan ayah dilaporkan stabil namun tidak dapat bercakap banyak kerana masih sakit terutama di bahagian lutut kanan dan sedang dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA),” katanya yang bekerja di Sitiawan, Perak.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pekan Superintendan Amran Sidek berkata, polis sudah menemui kenderaan mangsa kira-kira 500 meter dari lokasi kejadian.

Katanya, mangsa mengalami kerugian RM900 dan polis masih memburu dua penyamun terbabit yang melarikan dengan menaiki sebuah kereta Perodua Kembara.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana samun mendatangkan kecederaan,” katanya.