BERA - Seorang remaja berusia 18 tahun yang terlibat kemalangan hingga menyebabkannya koma selama tiga hari tahun lalu, dijadualkan menjalani pembedahan, Sabtu ini.

Pembedahan ke atas Rohimi Romzi itu bagi memasukkan sebahagian tempurung kepala yang sebelum ini terpaksa dibuang berikutan berlaku pendarahan dalaman akibat kemalangan tersebut.

Ibunya, Norazizah Ibrahim, 48, berkata, berita gembira itu dimaklumkan pihak hospital sejak Januari lalu namun pembedahan melibatkan kos dari RM3,000 ke RM5,000.

“Sebagai pekerja kantin sekolah, saya tak mampu sediakan duit sebanyak itu dalam masa yang singkat. Saya buntu tidak tahu mahu minta tolong daripada siapa, sehingga ada pihak yang sudi membantu menyebarkan perkara ini menerusi aplikasi, WhatsApp.

“Saya sendiri tak pasti, ada yang masukkan sumbangan dalam akaun bank atau tak, tapi saya bersyukur sangat bila Ahli Parlimen Bera sudi menampung kos pembedahan itu,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Tok Langit di sini.

Menurutnya, keadaan Rahimi yang tidak mempunyai tempurung itu memberi risiko dan boleh mendatangkan kecederaan justeru menasihatkan anaknya itu menjalani pembedahan menggantikan tempurung yang tiada itu.

"Rahimi juga terdedah kepada risiko berlakunya pendarahan di bahagian kepala sekiranya terjatuh atau terhantuk, dan sememangnya saya berharap dia cekal untuk teruskan pembedahan.

“Dalam masa seminggu ini, dia (Rahimi) berbelah bahagi selepas berjumpa dengan pakar bius, sama ada nak bedah atau tak. Dia takut-takut tapi saya nasihatkan dia supaya buat sebab pembedahan ni untuk masa depan dia," katanya.

Sementara itu, Rahimi berkata, walaupun belum bersedia menjalani pembedahan kerana belum dapat mengatasi perasaan takut, namun dia akan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) serta daftar memasuki wad terlebih dahulu.

"Kejadian beberapa bulan lepas masih segar dalam ingatannya dan ibu cakap saya koma tiga hari. Lepas itu, saya cakap merepek-repek sebab gegaran pada otak. 

"Sekarang Alhamdulillah, saya sudah pulih cuma untuk memastikan saya tidak terdedah kepada risiko, tempurung baru perlu dimasukkan,” katanya.

Pada pada itu, Ketua Wanita Umno Bahagian Bera, Datuk Sabariah Saidan menyampaikan sumbangan bernilai RM5,000 kepada Norazizah bagi membiayai kos pembedahan selain meringankan beban kedua beranak itu.

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.