KUANTAN - Polis berjaya menumpaskan dua kumpulan peminjam wang tanpa lesen atau Ah Long yang beroperasi di sekitar bandar Rompin dan Temerloh dengan penahanan lima lelaki dalam Op Vulture pada Selasa dan Rabu lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, dalam operasi di sekitar Rompin pada Selasa lepas, tiga suspek berusia 25 hingga 35 tahun ditahan.

"Hasil penahanan itu polis turut berjaya merampas tiga beg silang, 35 salinan kad pengenalan dipercayai peminjam, lima telefon bimbit dan dua buku note 555, dan wang tunai RM2,140 yang dipercayai hasil kutipan daripada peminjam," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Katanya, siasatan awal mendapati kumpulan Ah Long di Rompin itu mula beroperasi sejak awal tahun ini.

Sementara itu, dalam operasi di Temerloh pada Rabu lepas polis menahan dua lelaki berusia 22 tahun yang dipercayai baru berjinak-jinak dalam kegiatan memberi pinjaman wang secara haram, katanya.

Hasil penahanan itu, katanya polis merampas 2,348 keping kad pemberi pinjam wang tidak berlesen, satu beg sandang, sebuah motosikal dan satu set kunci motosikal.

Mohd Wazir berkata  kesemua suspek kini direman empat hari untuk siasatan.

Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjaman Wang Tanpa Lesen 1951 dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang RM250,000 dan tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.