KUANTAN - Peratusan penyelesaian kes di Mahkamah Syariah Pahang bagi tempoh 2013 hingga 2016 menunjukkan peningkatan, kata Pengerusi Jawatankuasa Dakwah Islamiah dan Tugas-tugas Khas negeri, Datuk Syed Ibrahim Syed Ahmad.

Beliau berkata, pada tahun 2013, peratusan kes selesai ialah sebanyak 83.1 peratus dan meningkat kepada 2014 (84.4 peratus), 2015 (84.6 peratus) dan 2016 (85 peratus).

"Jumlah kes yang didaftarkan bagi tahun 2013 hingga 2016 ialah sebanyak 6,887 kes dan hanya 1,092 kes tunggakan yang masih dalam prosiding.

"Beberapa kes yang belum dapat diselesaikan disebabkan kesukaran untuk mengesan Orang Kena Tuduh (OKT) untuk dihadapkan ke mahkamah dan saksi pendakwaan gagal hadir memberi keterangan," katanya.

Syed Ibrahim berkata demikian pada persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Pahang Ke-13 di Wisma Sri Pahang di sini hari ini, bagi menjawab soalan Syed Hamid Syed Mohamed (PAN-Kuala Semantan) yang ingin tahu jika terdapat kes Makamah Syariah yang tertangguh.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia dan Tugas-tugas Khas Pahang, Datuk Norol Azali Sulaiman menjelaskan kerajaan negeri tidak berhasrat untuk mengeluarkan sijil bebas dadah kepada mereka yang berjaya meninggalkan tabiat itu.

"Kajian yang dilakukan Jabatan Kesihatan negeri dan carian oleh saya sendiri mendapati sijil bebas dadah tidak pernah dikeluarkan oleh mana-mana kerajaan di dunia setakat ini. Jika ada sekalipun, ia dikeluarkan oleh NGO (badan bukan kerajaan).

"Tetapi saya sendiri tidak pernah melihat sijil ini dan tidak wajar juga untuk saya sebutkan NGO yang terlibat di dalam dewan ini... tapi apa pun niat NGO ini adalah baik untuk membantu mereka yang terjebak dengan dadah pulih," katanya.

Norol Azali berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Dr Ahmad Shukri Ismail (BN-Pulau Tawar) yang ingin tahu jika sijil bebas dadah boleh dikeluarkan kerana berpendapat sijil itu dapat membantu bekas penagih untuk kembali kepada masyarakat.

Dr Ahmad Shukri berkata sijil itu boleh diberi jika jabatan kesihatan bersedia menyediakan kemudahan khusus untuk membuat penilaian dan saringan seperti proses detox dan penilaian 'psycho-social' ke atas penagih yang berjaya meninggalkan tabiat itu. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :