ROMPIN - Ikan bakar menjadi pengganti sumber rezeki peniaga sate selepas makanan itu tidak mendapat sambutan sepanjang Ramadan.

Tambah menarik, Muhammad Nazir Mudzaffar, 33, bersama abangnya, Afzalriza Mudzaffar, 37, menjadikan ikan pari jenis tuka sebagai menu utama mereka di Bazar Ramadan Kuala Rompin.

Menurut Muhammad Nazir, ketika Ramadan sate tidak mendapat permintaan tinggi daripada pelanggan.

Justeru, katanya, sebagai ganti, bulan puasa kali ini  dia kembali berniaga ikan bakar yang lama ditinggalkannya selepas memberi fokus kepada perniagaan makanan itu.

“Jualan sate masa bulan puasa tak laju macam hari biasa, kalau tak berniaga tiada pendapatan pula. Jadi saya pilih berniaga ikan bakar yang majoritinya daripada ikan pari tuka.

“Alhamdulillah setakat ini jualan agak baik dan ramai peminat ikan pari tuka bakar yang datang membeli,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, semalam.

Beberapa jenis ikan lain seperti ikan aji-aji, senangin, togok dan selar papan namun bergantung kepada stok di pasar turut boleh didapati di gerainya.

Katanya, bancuhan rempah dihasilkan sendiri dengan bantuan isterinya dan menjadikan ikan bakarnya cukup lazat.

“Ayah saya dulu berniaga ikan bakar. Ketika itu saya yang menolongnya di gerai secara tidak langsung banyak yang saya belajar dengannya.

“Ramuan sambal pun saya buat sendiri dibantu isteri, setakat ini ada pelanggan yang datang semula dan bagi maklum balas positif berkaitan rasanya,” katanya.