KUANTAN - Pihak berkuasa diminta segera meletakkan pembahagi jalan di Jalan Bukit Ubi yang berdekatan dengan persimpangan Jalan Gambut di sini kerana bimbang boleh mengundang risiko kemalangan jalan raya.

Pengguna mendakwa, sejak jalan berkenaan diubah kepada sehala, hampir setiap minggu kemalangan membabitkan motosikal atau kereta berlaku di kawasan terbabit.

Seorang pengguna, A Shanti, 50, berkata, kemalangan yang kerap berlaku di kawasan itu disebabkan kenderaan yang laju daripada Jalan Gambut terus melulu masuk ke Jalan Bukit Ubi.

“Ia jadi lebih berisiko disebabkan ketiadaan pembahagi jalan di situ dan kenderaan berkenaan akan masuk terus daripada kanan ke kiri jalan tanpa menghiraukan kenderaan yang ada di Jalan Bukit Ubi berkenaan.

“Akibatnya sering berlaku kemalangan di situ, malah pernah berlaku kemalangan yang membabitkan kematian. Terbaru minggu lalu membabitkan sebuah motosikal dan kereta namun tiada kematian,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Dia yang bekerja sebagai tukang cuci berkata, kebiasaan kemalangan berlaku pada waktu puncak iaitu pada waktu pagi dan pulang dari kerja.

Jelasnya, pengguna masing-masing hendak cepat ke tempat kerja dan pulang ke rumah, sekali gus memandu secara tergesa-gesa tanpa memikirkan bahaya di kawasan terbabit.

“Jadi kita minta agar pihak berkaitan buat pembahagi jalan di kawasan itu,” katanya.

Sementara itu, Rosmawati Sulong, 44, turut berharap pihak berwajib segera meletakkan pembahagi jalan di jalan berkenaan supaya kes kemalangan dapat dikurangkan.

Katanya, masalah tersebut sudah beberapa kali dikemukakan kepada pihak berwajib namun sehingga kini ia tidak lagi selesai.

“Jika kita tengok memang nampak jalan ini mengundang bahaya kepada pengguna. Jadi ia perlu diselesaikan segera,” katanya.

Bagi peniaga, Ani Mat Zin, 50, turut memohon pihak bertanggungjawab mencari jalan penyelesaian, selain menitikberatkan keselamatan di kawasan itu.

“Sebelum ini tak ada masalah, tetapi selepas pihak berkenaan melaksanakan jalan sehala,  masalah berkenaan timbul.

“Jika hendak buat jalan sehala, buatlah dengan sempurna, kalau kita lihat daripada jauh pun, kita akan tahu jalan ini akan berlaku masalah pada masa akan datang,” katanya sudah berniaga di kawasan berkenaan lebih 10 tahun.