KUANTAN – Tindakan nekad terjun daripada kenderaan bergerak, menyelamatkan seorang lelaki daripada terus berada dalam cengkaman penculiknya.

Victor, 48, berkata, dalam tempoh dua jam diculik, dia mencuba pelbagai cara untuk melarikan diri sebelum nekad terjun dan diselamatkan oleh anggota polis.

Menurutnya, ketika kejadian April tahun lalu itu, dia diculik ketika minum bersama rakan di sebuah restoran di pinggir ibu kota.

“Saya pergi Kuala Lumpur atas urusan kerja. Ketika minum bersama seorang rakan, saya didatangi empat lelaki yang minta wang.

“Berang saya tak ikut kemahuan mereka, saya dibawa menaiki kenderaan pacuan empat roda milik saya keliling kawasan tersebut.

“Mereka pukul saya hingga cedera di muka, badan dan kaki,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas membuat aduan kepada Adun Teruntum, Sim Chong Siong, di sini kelmarin.

Victor berkata, dia tidak dibenarkan bersuara dan dibelasah jika cuba memberikan sebarang penjelasan.

Katanya, bimbang dicederakan lebih teruk, dia nekad terjun daripada kenderaan dinaikinya.

“Dengan kelajuan 100km/j, saya buka pintu dan terjun melarikan diri untuk meminta pertolongan kerana sudah cedera parah,” katanya.

Mangsa berkata, susulan kejadian itu dia membuat laporan polis dan kini bimbangkan keselamatan diri serta keluarganya.

“Walaupun terselamat daripada mereka, saya sentiasa rasa tak selesa. Dalam tempoh enam bulan selepas kejadian, enam laporan polis dibuat, termasuk isteri yang tidak dapat hubungi saya beberapa hari selepas kejadian,” katanya.

Menurutnya, dia berharap pihak berkuasa segera menyiasat kejadian itu dan mengambil tindakan memandangkan hingga kini tiada perkembangan lanjut mengenainya.

 
Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • TAIPING - Seorang bapa tidak dapat mengawal kemarahan apabila bertindak meluru ke arah trak yang membawa tujuh suspek utama kes penculikan anaknya di Mahkamah Majistret Taiping, hari ini.
  • JOHOR BAHRU - Polis Johor sentiasa menjalinkan kerjasama yang baik dengan Pasukan Polis Singapura (SPF) terutama dalam membanteras kegiatan jenayah rentas sempadan di kedua-dua negara.
  • KUALA PILAH - Orang ramai dinasihatkan lebih berhati-hati dan peka dalam penjagaan anak masing-masing bagi mengelakkan menjadi mangsa kes culik.
  • KUALA LUMPUR - Polis menahan seorang wanita warga Filipina dan lelaki tempatan masing-masing berusia 39 dan 53 tahun dalam satu serbuan di sebuah rumah di Pangsapuri Taman Desa semalam bagi membantu siasatan berhubung kes culik seorang bayi, Freddy Joseph, 20 bulan yang dilaporkan hilang Jumaat lalu.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.