JERANTUT - Air terjun Lata Meraung di Kampung Sungai Kiol, di sini, dahulunya jernih kini menjadi keruh sejak dua tiga minggu lalu.

Bukan sahaja keruh bahkan paras air yang dahulunya diakui dalam oleh penduduk tempatan, kini semakin cetek sekadar paras pinggang kerana dipenuhi selut.

Punca air di Lata Meraung datangnya dari Sungai Ulu Cheka namun tidak diketahui dari mana bermulanya kekeruhan tersebut tetapi penduduk tidak menolak kemungkinan ada kegiatan pembalakan berlaku di sekitar kawasan air terjun itu.

Seorang pengunjung dari Johor, Aidi Idrus, 41, berkongsi rasa terkejut apabila tiba di Lata Meraung ini kerana berfikiran air di sini jernih kerana dikelilingi hutan hujan.

"Bila saya datang ke sini harapan saya untuk tengok air yang jernih. Mandi di air terjun yang cantik, dikelilingi alam semula jadi tapi bila sampai sini tengok air keruh, jadi kecewa.

"Saya datang sini dari jauh untuk tengok air yang keruh. Tak sepatutnya berlaku di kawasan kawasan reserve forest macam ni. Lagipun kalau diikutkan sekarang ni musim kemarau musim kering, jadi sepatutnya air jernih," katanya ketika ditemui di lokasi tersebut.

Rakannya, Khairunnizam Idrus, 35, berkata, beliau meminta pihak berkuasa untuk menyiasat punca air keruh tersebut yang dikhuatiri disebabkan oleh aktiviti pembalakan.

"Jika benar ada berlaku seperti yang kita dengar, tolonglah siasat. Saya amat kecewa jika aktiviti tersebut merosakkan sungai dan air terjun di kawasan hutan simpan sebegini," katanya.

Anan a/l Nana Selvam, 36, berkata, keadaan ini amat mengecewakan beliau yang menjadikan Lata Meraung sebagai lokasi beriadah hampir setiap hujung minggu, kini tidak lagi secantik dahulu.

"Dulu air di sini memang bersih, dalam dan tak kotor macam ni. Sekarang warna airnya coklat, nak turun mandi pun tak lalu sekarang ni," katanya.

Bagi Yusuf Laldin, 67, berkata, beliau yang datang bercuti dari Ipoh ternyata kecewa dengan apa yang terbentang di hadapan matanya.

Harapan beliau untuk melihat keindahan Lata Meraung meleset kerana air sungai dan air terjunnya kekuningan dan menimbulkan bau tidak menyenangkan.

"Airnya keruh dan agak berbau. Nak mandi pun tak ada selera. Saya dan keluarga sangat kecewa datang dari jauh nak mandi air terjun, tengok jadi macam ini," katanya.

Sementara itu, penduduk dari Padang Piol Jerantut Pahang, Raja Mariam Raja Kasim, 61, berharap pihak berwajib memantau keadaan di situ kerana air yang keruh mengundang pemandangan kurang senang lebih lebih lagi terhadap pengunjung luar.

"Sedih juga bila tengok situasi macam ni sebab sebelum ni air terjun ini airnya jernih dan pemandangan juga cantik.

Tanda arah ke lokasi Lata Meraung.

"Kalau pelancong asing datang sini, mesti tanggapan mereka macam-macam," katanya.

Tinjauan Sinar Harian ke Air Terjun Lata Meraung jelas mendapati keadaan air keruh mencemarkan pemandangan hutan hijau yang ternyata sangat cantik itu.

Terdapat satu notis ditampal pada kaunter di pintu masuk oleh Jabatan Perhutanan Jerantut memaklumkan lokasi itu ditutup seketika sehingga suatu tarikh dimaklumkan kemudian.