MARAN - Kerajaan diminta meluluskan peruntukan tambahan bagi menaik taraf laluan jalan dari Pekan Awah ke Tol Chenor untuk kepentingan kira-kira 40,000 penguna laluan jalan itu hingga ke Bandar Tun Razak Jengka.

Ahli Parlimen Maran Datuk Seri Ismail Abd Muttalib berkata, kerajaan telah meluluskan peruntukan RM250 juta bagi projek menaik taraf jalan sepanjang kira-kira 35 kilometer daripada tol Chenor ke Bandar Tun Razak Jengka, yang dijangka memulakan kerja-kerja pembinaan tahun ini.

Bagaimanapun katanya, laluan jalan dari Pekan Awah ke toll chenor  yang berjarak 15 kilometer itu juga adalah laluan yang sama yang sepatutnya diberikan peruntukan tambahan.

"Kerajaan telah memberikan  peruntukan sebanyak RM250 juta bagi menaik taraf jalan daripada tol Chenor ke Bandar Tun Razak Jengka, tetapi tidak dari Kampung Awah ke Tol Chenor. Justeru kita harap jalan itu juga dapat dinaik taraf. Begitu pun, rakyat dan pengguna berterima kasih kepada kerajaan yang prihatin meluluskan peruntukan tersebut.

"Kerja kerja menaik taraf dijadualkan bermula pada Februari dan dijangka siap pada 31 Ogos 2020 jika tiada sebarang halangan," katanya.

Beliau berkata, projek jalan tersebut sememangnya dinanti-nantikan penduduk kerana ia dapat merangsang pembangunan ekonomi, sosial, dan pendidikan tinggi di negeri ini khususnya di Bandar Tun Razak Jengka dan kawasan sekitarnya.

"Kerajaan sebelum inipun telah meluluskan peruntukan segera sebanyak RM145 juta bagi pembesaran jalan tersebut. Manakala tempoh lima tahun ini, sebanyak RM250 juta pula telah diluluskan bagi tujuan sama,"katanya.

Timbalan Menteri Sumber Manusia itu berkata, projek menaiktaraf jalan tersebut adalah terlalu penting dan satu keperluan berikutan pertambahan penduduk termasuk kewujudan kawasan perumahan serta warga Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Pahang Bandar Tun Razak Jengka.

Beliau bercakap kepada media selepas menyampaikan sumbangan kepada pesakit kronik, warga emas dan Orang Kelainan Upaya (OKU) pada program Ziarah Umno Bahagian dan Pusat Perkhidmatan Ahli Parlimen Maran di rancangan Felda kawasan Parlimen Maran baru-baru ini.

 

 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • PERAI - Hanya kerana tidak dapat menghadirkan diri pada istiadat mengangkat sumpah pelantikan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas baru-baru ini menyebabkan peruntukan untuk Adun Penanti, Dr Norlela Ariffin dikatakan disekat oleh kerajaan negeri.
  • SHAH ALAM - Tujuh masjid baharu akan dibina di Selangor tahun ini membabitkan peruntukan RM67.4 juta, bagi memenuhi keperluan kariah kawasan berkenaan yang mengalami peningkatan jemaah yang ketara saban tahun.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.