KUANTAN - Ujian hebat! Itu situasi dialami  pasangan suami isteri apabila anak ketiga yang sebelum ini dilahirkan tidak cukup bulan dan mengalami masalah usus serta telah tiga kali dibedah, kini hilang sebahagian kaki kiri yang terpaksa dipotong.

Muhammad Aizat Mohd Zain, 30, dan Siti Umi Khalsom Superman, 27, berkata, sebahagian kaki kiri bayi mereka, Nur Aisyaurora Anisya yang berusia tujuh bulan terpaksa dipotong akibat gangren yang didakwanya berpunca akibat kecuaian hospital.

Muhammad Aizat mendakwa, doktor mengesyaki anaknya mengalami masalah pada usus ketika kandungan isterinya mencecah lapan bulan dan Nur Aisyaurora terpaksa dilahirkan awal daripada tarikh sepatutnya.

“Isteri lahirkan Nur Aisyaurora pada 25 November dan pembedahan pertama dilakukan pada 28 November lalu bagi mencantumkan ususnya, kemudian disusuli dua lagi pembedahan termasuk membuang pundi hempedu dan apendiks yang sudah tidak berfungsi.

“Masalah mula timbul apabila Nur Aisyaurora selesai menjalani pembedahan kali ketiga dan saya melihat kaki kirinya mempunyai kesan merah seakan melecur, apabila kami bertanya kepada doktor dia memaklumkan bahawa terdapat luka kecil pada kakinya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di rumahnya di Tanah Putih Baru, semalam.

Muhammad Aizat berkata, dia menjadi pelik apabila melihat kesan merah itu bertukar menjadi gelembung sebelum lama-kelamaan jari kakinya menjadi kehitaman dan terus mendapatkan penjelasan dari pihak hospital.

Bagaimanapun, jelasnya, pihak hospital memaklumkan keadaan itu mungkin disebabkan alat mengukur kadar oksigen dalam darah (Sp02) dipasang terlalu ketat ketika pembedahan berlangsung sehingga mengganggu aliran darah.

“Pada mulanya doktor memaklumkan jari kaki anaknya sudah ‘mati’ dan pihak hospital hanya menunggu jari itu ‘gugur’ dengan sendiri,” katanya.

Siti Umi Khalsom pula berkata, dia sedih selepas pihak hospital memaklumkan kaki bayinya itu terpaksa dipotong akibat jangkitan kuman.

Dia juga terkilan apabila anak yang dilahirkan cukup sifat akhirnya cacat disebabkan kecuaian pihak lain.

Sementara itu, Adun Semambu, Lee Chean Chung berkata, pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan pihak hospital bagi mendapatkan penjelasan.

“Jika ada berlakunya kecuaian, kami minta pihak hospital membuat permohonan maaf dan memberi pampasan sewajarnya,” katanya.