KUANTAN - Majoriti golongan belia negara ini peka dengan isu perlombongan bauksit di Pahang yang mendatang masalah kepada alam sekitar dan sosio-budaya masyarakat setempat.

Eksekutif Program EcoKnights Nabila Shohaimi berkata, kesimpulan itu dibuat berdasarkan kajian soal selidik dilakukan oleh pertubuhan bukan kerajaan berkaitan alam sekitar itu bersama-sama Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan Universiti Waseda, Jepun.

Katanya kajian melibatkan 419 responden berusia antara 18 hingga 30 tahun di seluruh negara yang dilaksanakan menerusi internet juga mendapati kebanyakan belia kurang memahami kepentingan aktiviti perlombongan bauksit kepada ekonomi.

"Kajian dijalankan sejak Ogos lalu dan hasilnya menunjukkan golongan belia di Malaysia sememangnya mengambil berat isu perlombongan bauksit dan menyedari kesannya terhadap alam sekitar dan sosio-budaya.

"Namun, pemahaman mereka dari aspek ekonomi sedikit rendah mungkin disebabkan kurang mendapat informasi berkaitan hal itu daripada internet dan media massa," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Nabila berkata kajian juga mendapati 40 hingga 50 peratus daripada golongan itu tidak dapat menerima aktiviti perlombongan bauksit dijalankan manakala lebih 40 peratus memilih 'neutral' yang memperlihatkan mereka tidak dapat membuat keputusan.

Sementara itu, Pengarah Pelestarian Kampus UTM, Profesor Madya Ir Dr Mohd Fadhil Md Din berkata, kajian soal selidik bebas itu merupakan platform terbaik terutama bagi golongan belia untuk menyuarakan pandangan mereka.

Katanya kerajaan boleh menggunakan pendekatan seumpamanya untuk memberi kesedaran kepada belia kerana kajian dan pembentangan yang dilakukan berupaya menjadi satu sinergi bagi agensi terlibat.

"Kebanyakan golongan belia tahu masalah alam sekitar tapi tidak tahu cara untuk menanganinya tanpa perjumpaan seperti ini, sedangkan mereka adalah pelapis yang akan mentadbir negara pada masa hadapan dan mewarisi masalah masa kini.

"Mereka juga yang akan membantu generasi akan datang dan transformasi diperlukan sekarang untuk mengelak bencana, serta paling utama ialah dalam menentukan hala tuju negara," katanya.

Adun Beserah, Andansura Rabu pula berkata, hasil kajian itu jelas menunjukkan beberapa perkara dalam perlombongan bauksit perlu diperbetulkan supaya isu itu dilihat telus dan tidak dipandang negatif masyarakat.

"Banyak kerja perlu dilakukan pihak kerajaan jika ingin meneruskan aktiviti perlombongan bauksit terutama dalam beberapa perkara utama yang dituntut masyarakat.

"Jika pencegahan dibuat lebih awal persepsi berkaitan aktiviti itu mungkin berbeza, namun kini semua perkara itu mesti diperbetulkan sebelum ia menjadi isu besar sekali gus bencana kepada  alam sekitar dan sosio budaya masyarakat," katanya. – Bernama

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.