KUANTAN - Jeti pendaratan ikan di Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Pahang di Kemunting semakin padat memandangkan ia menjadi lokasi 316 bot terdiri  bot A, B, C dan C2 mendaratkan hasil tangkapan di situ.

Jeti yang siap dibina pada tahun 1988 dan beroperasi pada tahun 1991 membabitkan fasa pertama sebelum jeti bot tradisi dibina dengan kos RM6.8juta seluas lima ekar.

Pertambahan bot yang mendaratkan hasil tangkapan membuatkan kompleks tersebut dibangunkan untuk fasa kedua pada tahun 1995 dengan kos RM44 juta menjadikan kawasan itu seluas 15 ekar dengan panjang jeti 800 meter.

Dengan keluasan itu, ia mampu mengendalikan pendaratan serentak 30 bot laut dalam selain bot pukat tunda dan jerut dengan kapasiti pendaratan 100,000 metrik tan setahun.

Malah banyak kemudahan yang disediakan dalam fasa dua pembangunan jeti pendaratan ikan ini antaranya  jeti tambatan bot, jeti bekalan input, slipway (bengkel), bengkel pukat, bilik sejuk (10 tan dan 20 tan) dan banyak lagi.

Exco Pembangunan Luar Bandar, Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri, Datuk Shafik Fauzan Sharif yang mengadakan lawatan kerja ke kompleks itu berkata, hasil tinjauan mendapati, jeti tersebut semakin padat dan tidak menafikan ia perlu ditambah.

“Bot-bot terpaksa menunggu giliran untuk mendaratkan ikan kerana keadaan sudah padat.

“Bagaimana pun, saya melihat keperluan untuk jeti tambatan bot adalah lebih mendesak. Buat masa ini jeti tambatan bot hanya mampu memuatkan kira-kira 30 bot. Jika jeti tambatan bot diperbesarkan, sekurang-kurangnya 100 bot boleh diletakkan,”katanya kepada media selepas Lawatan Kerja ke Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Pahang di Kemunting, pagi tadi. 

Hadir sama, Pengarah LKIM Pahang, Yahya Mohamad.

Shafik Fauzan berkata, perancangan memperbesarkan jeti tambatan bot di kompleks itu akan dimasukkan ke Rancangan Malaysia ke 12 (RMK12) sebagai perancangan jangka panjang.

Shafik Fauzan berkata, kompleks pendaratan ikan di LKIM Pahang antara yang terbesar di negara ini dan menjadi tumpuan nelayan dari Perak dan Selangor ekoran perairan yang lebih luas untuk menangkap ikan.

“Manakala hasil tangkapan di sini diagihkan ke seluruh negara termasuk Singapura,”katanya.

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.