KUALA LIPIS - Perikatan Pencinta Alam Malaysia (Alam) menggesa kerajaan negeri dan jabatan berkaitan menyiasat aktiviti pembalakan di Hutan Simpanan Dara Hulu Terenggun, di sini.

Presiden Penajanya, Khaidir Ahmad berkata, dalam tinjauan dilakukan pihaknya beberapa hari lalu beberapa tempat di kawasan hutan simpan itu didapati digondolkan selain terdapat longgokan kayu balak ditebang.

Menurutnya, aktiviti pembalakan itu menyebabkan hutan simpan yang terletak di pinggir bandar Lipis itu semakin terjejas serta merosakkan keindahan alam semula jadi.

“Kita kecewa dengan aktiviti pembalakan yang berlaku sejak setahun lalu di kawasan hutan dara terbabit dan mahu kerajaan negeri menyiasat aktiviti itu.

“Walaupun sebelum ini kerajaan negeri ada mengeluarkan kenyataan bahawa tiada kelulusan diberikan bagi aktiviti pembalakan di hutan simpan tersebut serta mengesahkan kebenaran hanya diberikan untuk kerja-kerja mengeluarkan balak bagi pembinaan jalan, namun kita mahu alasan lebih konkrit diberikan.

“Rakyat melihat dan bijak menilai aktiviti pembalakan yang berlaku di kawasan mereka jadi kita mahu kerajaan negeri berterus terang dengan isu membabitkan hutan di Terenggun,” katanya kepada pemberita ketika ditemui, di sini semalam.

Khaidir berkata, pihaknya bimbang jika aktiviti pembalakan itu tidak dibendung, ia boleh membawa kemusnahan yang lebih serius terhadap alam sekitar selain mengakibatkan kejadian hakisan serta banjir.

Menurutnya, pihak Alam juga difahamkan hutan simpan terbabit berdekatan dengan kawasan tambahan projek perlombongan emas dan tidak mustahil usaha mencari gali mineral berharga itu dilakukan di kawasan tersebut jika tidak dibendung lebih awal.

“Hutan Simpanan Dara Hulu Terenggun seharusnya dipelihara kerana ia terletak berhampiran dengan sebuah IPTA dan boleh dijadikan tempat untuk penyelidikan.

“Justeru, kita berharap kerajaan negeri cakna dengan masalah pembalakan dan mengekang aktiviti berkenaan daripada terus berleluasa,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • TEMERLOH - Perikatan Pencinta Alam Malaysia (Alam) menerima maklumat terdapat kira-kira 2,000 balak dari spesies bermutu tinggi telah ditebang curi dari Rizab Hidupan Liar Krau, Kuala Krau di sini.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.