KUALA ROMPIN - Pakatan Harapan (Harapan) Rompin bakal menubuhkan pusat khidmat rakyat di peringkat Parlimen dan setiap Dun di daerah ini.

Ia bagi memudahkan urusan dengan rakyat tempatan selain menjadi penghubung terhadap sebarang masalah dengan pihak kerajaan.

Pengerusinya, Mohd Fadzli Mohd Ramly, berkata, untuk tujuan itu Harapan Rompin juga telah melantik penyelaras di setiap Dun.

Menurutnya, ia juga adalah salah satu usaha bagi memperkukuhkan parti itu di daerah ini.

“Pusat khidmat ini akan berfungsi sebagai platform kepada rakyat untuk menyalurkan masalah mereka.

“Kita akan buat pelancaran namun tarikhnya belum ditetapkan dan akan dimaklumkan kemudian,” katanya ketika ditemui di Jamuan Hari Raya Pakatan Harapan Rompin, semalam.

Pada PRU14, Harapan meletakkan di kerusi Parlimen Rompin dan ketiga kerusi Dun iaitu Tioman, Muadzam Shah dan Bukit Ibam.

Bagaimana pun, gelombang perubahan yang menyaksikan BN tumbang di peringkat Pusat dan enam negeri di semenanjung tidak sampai ke daerah ini apabila BN menyapu bersih semua kerusi yang dipertandingkan.

Mohd Fadzli berkata, kekalahan Harapan di daerah ini tidak menjadi penghalang bagi mereka untuk terus berkhidmat kepada rakyat.

“Apa yang dilakukan sebelum ini pun bukan dalam situasi kami menang, kerja-kerja membantu rakyat, kami akan teruskan,” katanya.