BENTONG - Usahawan kini perlu bijak dan kreatif menggunakan media sosial sebagai kaedah alternatif bagi meningkatkan hasil jualan produk mereka  serta potensinya kerana pemasaran atas talian kini penting.

Pengasas Richmind World, Noh Anuar berkata, trend menjual barangan dalam internet kini mendapat sambutan baik dalam kalangan masyarakat Malaysia khususnya generasi muda seiring peningkatan dan perkembangan sektor berasaskan Internet di negara ini.

Menurutnya, ramai golongan muda kini menceburi bidang ini sebagai usaha menambah dan menampung perbelanjaan harian akibat kos sara hidup yang semakin meningkat.

“Ramai yang memilih untuk berniaga di media sosial kerana produk kita mudah untuk dipasarkan di seluruh Malaysia tanpa perlu mengeluarkan kos yang besar untuk membuat pemasaran.

“Bagi pembeli, mereka membeli dalam internet berdasarkan beberapa faktor seperti harga yang lebih murah, boleh membuat perbandingan dengan pelbagai pilihan dalam satu-satu masa, tidak perlu bersesak untuk meletak kenderaan dan membuat bayaran serta beberapa faktor lain.

“Bagi yang belum mencuba menjual produk mereka di media sosial, perkara ini amat perlu dilakukan terutamanya bagi suri rumah atau mereka yang tiada pendapatan tetap sebagai usaha menambah dan menampung perbelanjaan harian akibat kos sara hidup yang semakin meningkat,” katanya ketika ditemui selepas memberi ceramah dalam Bengkel Digital  Pemasaran Online di sini, semalam.

Program yang dianjurkan oleh Maju Bentong dengan kerjasama Pusat Internet 1 Malaysia (PI1M) Batu Satu  telah berjaya menarik kira-kira 70 peserta untuk menyertai bengkel yang rata-rata peserta merupakan usahawan.

Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Penggerak Ummah Daerah Bentong, Mohd Hanifah Ismail berkata,  bukan sahaja dapat membantu golongan berpendapatan rendah yang menceburi sektor perniagaan dalam media sosial namun dapat juga menyelesaikan masalah pengangguran dalam kalangan generasi muda

Menurutnya, ini kerana bidang pekerjaan ini sangat mudah bagi mereka kuasai disebabkan asasnya adalah Internet yang menjadi sebahagian daripada kehidupan generasi muda hari ini.

“Bagi mereka yang berniaga, mereka boleh menggunakan peluang ini untuk mempromosikan produk melalui internet yang mana produk mereka bukan hanya dapat dilihat oleh orang Bentong malah seluruh Malaysia dapat melihat produk mereka.

“Saya berharap dengan adanya program ini, ianya dapat membantu komuniti dalam menguruskan aktiviti seharian dan menambah ilmu pengetahuan penduduk setempat,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • SABAK BERNAM - Setiausaha Masjid Kampung Ubudiah, Kampung Simpang Empat Bagan Nakhoda Omar, di sini, menggesa sebuah syarikat telekomunikasi terkenal di negara ini menyiasat penyebaran maklumat palsu yang dihantar melalui aplikasi WhatsApp kononnya menjanjikan hadiah lumayan.
  • MELAKA - Ibu bapa diingatkan supaya memantau penggunaan media sosial anak-anak bagi mengelakkan mereka terpengaruh dengan perkara-perkara yang boleh merosakkan pemikiran dan jati diri.
  • KUALA BESUT - Kisah lima beradik dari Kampung Beris Lampu, di sini yang didakwa hidup sebatang kara selepas kematian ibu mereka 30 Jun lalu mendapat perhatian pelbagai masyarakat setelah kisahnya disiar sebuah media elektronik seterusnya tersebar melalui media sosial.
  • LIPIS - Ahli Umno diingatkan supaya jangan mudah selesa dan percaya dengan penyebaran berita media sosial sebaliknya mendapatkan maklumat yang sahih dan tepat sebelum disebarkan.
  • KUALA TERENGGANU - Pembangkang meminta kerajaan mengkaji semula serta menarik balik operasi panggung wayang di Paya Bunga Sentral (PB Sentral) kerana dikhuatiri akan menyumbang kepada masalah sosial dalam kalangan muda-mudi di Terengganu.