KUANTAN - Merdeka bukan sahaja bermaksud membebaskan diri daripada penjajah malah membawa diri keluar dari belenggu hidup yang mampu membinasakan diri seperti melakukan jenayah.

Menjadi penghuni penjara merupakan pengalaman menyukarkan di samping stigma masyarakat yang pelbagai terhadap banduan memaksa mereka bergelut memperbaiki diri dan insaf melakukan perbuatan jenayah.

Bagi penghuni Penjara Penor yang mahu dikenali sebagai Pak Long, 61, berkata dirinya berazam memerdekakan diri sepenuhnya dari kegiatan jenayah lampau sebaik dibebaskan kelak.

“Jika dahulu saya penagih dan mengedar dadah kini saya perlu berubah menjadi insan yang baik kepada keluarga saya,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di Penjara Penor di sini, semalam.

Pak Long berkata, dia terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah yang membawa hukuman gantung sampai mati pada 2010, namun telah mendapat pengampunan dan bakal dibebaskan pada tahun 2020.

Mengenang nasib dirinya, Pak Long berkata saat menyedihkan buat dirinya apabila tidak dapat melihat jenazah anak sulungnya buat kali terakhir yang meninggal dunia di samping tidak dapat menghadiri perkahwinan anak perempuannya.

“Saya masih belum puas bermain dengan anak-anak saya…seperti anak sulung saya, kami tak sempat duduk serumah dan jarang berjumpa.

“Bila masuk ke sini tahu-tahu sahaja dapat perkhabaran dia telah meninggal dunia,” katanya sambil mengalirkan air mata.

Seorang lagi banduan yang dikenali sebagai Lee, 54, berkata penghijrahan dirinya kepada Islam di dalam penjara merupakan satu kemerdekaan bagi dirinya kerana merasakan jiwanya lebih tenang bersama Islam.

Menurutnya, dia menerima hidayah daripada ALLAH selepas seminggu menjadi penghuni penjara tanpa sebarang paksaan daripada mana-mana pihak.

“Hari pertama saya masuk penjara, saya tak boleh terima hakikat saya kena duduk sini selama lima tahun. Saya alami kemurungan jiwa, tidak tenteram dan hampir setiap malam saya menangis.

“Pada satu hari saya terfikir hendak masuk Islam dan kemudian berbincang dengan warden penjara.

“Alhamdulillah, bulan Ogos menjadi saksi bahawa saya memeluk Islam dan kini hati saya lebih tenang tidak seperti mula-mula masa masuk ke sini,” katanya.

Lee yang menyambut hari jadinya semalam bersamaan tarikh Hari Kebangsaan berazam tidak mengulangi kesilapan lalu dan berhajat ingin mendalami al-Quran dan hadis untuk lebih beliau mendekatkan diri dengan agama Islam.