KUANTAN - Keadilan menyifatkan dakwaan Kilang Nadir Bumi Lynas yang mengatakan bahawa Kemudahan Simpanan Residue (RSF) di Lynas adalah selamat untuk tujuan penyimpanan sisa jangka masa panjang disifatkan satu pembohongan.

Adun Semambu, Lee Chean Chung berkata, dakwaan daripada Lynas itu satu penipuan dan berdasarkan dokumen seperti Laporan Awal Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA), menunjukkan bahawa pembinaan RSF adalah untuk sementara.

Menurutnya perkara itu dicatatkan dalam Laporan Radiological Impact Assessment mengenai struktur pembinaan RSF Lynas adalah berdasarkan jangka penggunaannya selama 10 tahun sahaja.

“Malangnya kenyataan syarikat itu yang terbaru ini membuktikan kenyataan mereka tidak boleh dipercayai,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Beliau turut  mengingatkan Lynas bahawa satu Institut OEKO Eropah pernah membuat kajian terhadap kemudahan Lynas.

Jelasnya, dalam laporan itu menunjukkan kemudahan RSF kilang Lynas yang dibina menggunakan hanya satu milimeter lapisan Polietilena massa jenis rendah (HDPE) dan satu lapisan 30 sentimeter tanah liat adalah tidak mengikut piawai serta tidak selamat untuk digunakan.

“Jadi saya cabar pihak Lynas untuk kemukakan dokumen sokongan seperti laporan kajian alam sekitar dan laporan profesional yang membuktikan bahawa struktur RSF Lynas selamat untuk digunakan sebagai tapak simpanan kekal sisa radioaktif Lynas,” katanya.