KUALA PILAH - Seekor ular tikus sepanjang kira-kira satu setengah meter berjaya ditangkap oleh Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kuala Pilah di sebuah rumah di Kampung Mungkal Seberang, petang kelmarin.

Penghuni rumah tersebut, Mohd Firdaus Mansur, 21, memberitahu, dia terdengar bunyi dengusan di bawah katil sebuah bilik sekali gus menemukan seekor ular tikus sedang melingkar.

“Bunyi dengusan ular itu agak kuat. Pada awalnya ingat bunyi apa tetapi lama-kelamaan rasa tidak sedap hati.

“Cuba cari dari mana datangnya bunyi itu kerana bilik ini dipenuhi barang, jadi sukar untuk menemukan ular hinggalah ternampak di bawah katil, seekor ular berwarna hitam,” katanya.

Panik dengan keadaan itu, Mohd Firdaus menghubungi APM pada jam 1.03 petang.

“Saya memang tiada pengalaman menangkap ular dan bimbang diapa-apakan, saya terus hubungi APM.

“Mujur ketika itu, tiada orang bertandang ke rumah untuk berhari raya dan saya tidak tahu bagaimana ular terbabit boleh menyelinap masuk ke dalam bilik,” katanya menzahirkan ribuan terima kasih kepada APM kerana tangkas dalam melaksanakan tugas.

Sementara itu, Pegawai APM Daerah, Muhamad Aminudin Suhaimi berkata, sejurus menerima panggilan kecemasan jam 1.03 petang, seramai empat anggota APM bergegas ke lokasi tersebut.

“Setibanya di rumah berkenaan, lokasi tepat ular itu bersembunyi di bawah katil, bagaimanapun APM mengalami kesukaran berikutan bilik tersebut dipenuhi pelbagai barang.

“Apabila cuba menangkap, ular itu beralih ke kawasan lain sekali gus menyukarkan kerja-kerja menangkap ular,” katanya.

Namun begitu, kata Muhamad Aminudin, setelah bertungkus-lumus selama sejam 10 minit, akhirnya ular berkenaan berjaya ditangkap.

“Ular berkenaan dibawa ke pejabat APM sebelum dilepaskan di kawasan hutan berhampiran,” katanya.