SEREMBAN - Pemeriksaan air di Sungai Labu berdekatan lokasi tumpahan cecair kimia di Nilai, Khamis lalu, adalah di paras normal.

Exco Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S Veerapan berkata, Jabatan Alam Sekitar Negeri telah  pantau kualiti air di sungai tersebut dan hasil pemeriksaan mendapati bacaan pH dan dissolved oxygen (DO) normal.

Katanya, rakyat dinasihatkan  supaya tidak bimbang dengan kejadian itu, berikutan langkah-langkah awal pihak penyelamat meminimumkan impak tumpahan bahan kimia mengalir ke sungai.

“Hasil siasatan mendapati sejumlah 21,500 liter sisa industri iaitu ‘solvent’ dan ‘coolant’ telah bocor dari tangki lori dan mengalir ke longkang awam serta alur air berdekatan.

“Kerja membersih dan mengepam sisa industri tersebut selesai dijalankan pihak terlibat bermula kelmarin dan awal pagi tadi (semalam), bagi meminimumkan implikasi pencemaran Sungai Labu.

“Sebanyak 24,660 liter campuran sisa industri bercampur air telah disedut,” katanya.

Kelmarin, sebuah lori tangki muatan cecair kimia bocor di hadapan kilang SKF, Nilai.

Dalam kejadian jam 4.15 petang itu, lori dalam perjalanan ke Pasir Gudang terhenti, apabila  terpisah dengan bahagian badan sewaktu membelok sekali gus berlaku kebocoran pin tangki.