SEREMBAN - Tunku Ampuan Negeri Sembilan Tuanku Najihah Tunku Besar  Burhanuddin hari ini berkenan mencemar duli hadir pada Sambutan Jubli Emas Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Ampuan Najihah.

Tuanku Najihah yang berbusana kebaya hijau meluangkan masa kira-kira dua jam berjumpa  pelajar, guru dan alumni sekolah tersebut.

Dalam ucapannya, baginda menyeru agar alumni SMK Tunku Ampuan Najihah bersama-sama membantu pihak sekolah, sama ada dari segi material dan pembangunan mahupun sokongan moral dalam setiap program dan aktiviti yang dirancang demi kepentingan anak didik sekolah ini.

“Kepada murid yang masih belajar dan menimba ilmu di sekolah ini, beta berharap agar terus gigih berusaha untuk menjadi murid cemerlang dan mengharumkan nama sekolah ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan negeri Dr Mohamad Rafie Ab Malek dan Pengetua sekolah Norida Omar.

SMK Tunku Ampuan Najihah memulakan sesi persekolahan pada Januari 1968, dan kini mempunyai 484 pelajar, 54 guru serta 26 kakitangan sokongan dan pekerja swasta. –Bernama