BUKIT KATIL - Meskipun mengidap sakit saraf kronik, namun Shaiszuan Shahepolbari, 30, masih mampu melaksanakan rukun Islam ketiga itu sejak berusia 12 tahun lagi.

Shaiszuan yang mempunyai lima adik-beradik merupakan salah seorang daripada tiga beradik yang dikategorikan Orang Kurang Upaya (OKU), termasuk seorang lembam, Muhammad Muhaimin, 20, dan Muhammad Azizi, 22, yang down sindrom manakala dua adiknya normal.

Shaizuan berkata, sejak dibangku sekolah lagi, dia diajar oleh ibu bapanya untuk berpuasa dan kini walaupun sudah tidak berdaya menguruskan diri sendiri, impak penyakit saraf itu selain hanya mampu terlantar di atas katil, namun dia tetap bersemangat untuk menjalani ibadah tersebut.

Menurutnya, selagi mampu berpuasa, dia tetap menguatkan semangat untuk berpuasa penuh seperti orang lain dan sekiranya bandannya lemah dan diserang sakit bagaimanapun dia terpaksa segera berbuka.

"Syukur ALLAH masih beri peluang untuk saya merasai nikmat bersahur dan berbuka.

"Tipulah kalau saya tak pernah tinggal puasa, namun ia boleh dibilang dengan jari beberapa hari saya tak dapat puasa kerana sakit.

"Apa yang berlaku ke atas diri saya, saya anggap semuanya ujian ALLAH, dan doktor pun pesan saya perlu positif, serta ceria untuk melawan sakit ini termasuk meneruskan puasa," katanya.

Shaiszuan berkata demikian ketika menerima kunjungan Adun Bukit Katil yang juga Ketua Menteri, Adly Zahari, di Taman Merak Mas di sini, tadi.

Jelas, Shaiszuan, dia yang dilahirkan normal bagaimanapun mengalami lemah seluruh anggota bandan sehingga tidak mampu berjalan ketika berusia 13 tahun.