SEREMBAN - Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru) menyambut baik langkah kerajaan yang akan melantik kira-kira 5,000 guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) yang mempunyai kelayakan diploma dan ijazah ke jawatan tetap.

Presidennya, Mohd Azizee Hasan berkata, ini kerana sebahagian guru Kafa diambil secara kontrak di mana ada dalam kalangan mereka  telah pun bertugas melebihi 10 tahun meskipun mempunyai kelayakan akademik.

“Jika diserap ke jawatan tetap, ia dapat menjamin kebajikan guru-guru Kafa kerana ketika ini mereka menerima gaji dalam bentuk elaun iaitu RM900.

“Apabila diserap ke skim perjawatan, gaji guru Kafa akan diselaras mengikut gred dan ini semestinya dapat meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran pendidikan Islam,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, kerajaan diharap menyediakan peluang pendidikan kepada guru Kafa yang hanya mempunyai Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (Stam) untuk meningkatkan tahap pendidikan kepada lebih tinggi.

Selain itu katanya, peruntukan khas kepada sekolah mengendalikan Kafa juga perlu disediakan bagi memastikan pendidikan terbaik dapat diberi kepada para pelajar.

“Kita juga bersedia berbincang dan memberi pandangan kepada kementerian berkaitan untuk meningkatkan kualiti pendidikan di sekolah Kafa,” katanya.

Media melaporkan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh berkata, sejumlah 5,000 guru Kafa diploma dan ijazah kini dalam proses dilantik jawatan tetap.

Beliau berkata, mereka yang mempunyai SPM dan Stam pula akan diberi tempoh dua tahun untuk belajar sambil bekerja.

“Ini usaha kita lalukan bagi membela kebajikan dan menaik taraf kira-kira 32,000 guru Kafa di seluruh negara,” katanya.