JASIN - Seorang pemilik kedai emas di Jalan Datuk Gan Heng Soo berputih mata apabila kedainya dipecah masuk malam Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan, Arshad Abu berkata, mangsa hanya menyedari kejadian itu selepas mendapati terdapat kerosakan pada peti besi di kedai berkenaan sekitar jam10.40 pagi semalam.

Menurutnya, akibat kejadian itu, mangsa mengalami kerugian kira-kira RM200,000.

"Berdasarkan siasatan, mangsa berusia 58 tahun itu hanya menyedari kedainya dipecah masuk ketika  mahu memulakan operasi.

"Selepas pemeriksaan, mangsa mendapati barang kemas bernilai RM200,000 serta wang tunai RM20,000 telah dilarikan," katanya.

Jelas Arshad, menerusi siasatan awal, pihaknya percaya sekurang-kurangnya dua suspek terlibat dalam kegiatan berkenaan.

"Suspek dipercayai masuk melalui bumbung premis dan melarikan diri menggunakan pintu di bahagian belakang.

"Siasatan lanjut masih dijalankan dan polis akan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dari premis berdekatan dalam mengenal pasti identiti suspek," katanya dalam satu kenyataan media malam tadi.

Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KLANG - [VIDEO] Tindakan seorang lelaki melakukan samun dengan mensasarkan stesen minyak yang sama sebanyak tiga kali akhirnya membawa padah apabila dia ditahan polis, petang semalam.
  • KUALA TERENGGANU - Seorang lelaki Rohingya berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebat, selepas mengaku salah merompak rakan senegaranya hingga menyebabkan mangsa cedera di pipi kiri, di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, di sini, hari ini.
  • BUKIT MERTAJAM - Selepas hampir seminggu diburu, akhirnya suspek yang dipercayai terlibat dengan kejadian pecah masuk sebuah pusat servis telefon bimbit di Jalan Perai Jaya 2 di sini diberkas dalam serbuan di sebuah rumah di Pangsapuri Teluk Indah, Perai di sini pagi semalam.
  • KUALA KETIL - Sebuah keluarga dari Kampung Bukit Endoi bukan hanya disamun malah diancam mahu disembelih oleh tiga penjenayah yang memecah masuk rumah mereka, awal pagi tadi.