JASIN - Seorang penunggang basikal maut selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya di Jalan Kampung Batu Gajah, Merlimau di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, mangsa, Woon Sun Tong, 54, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan, Arshad Abu berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila mangsa yang menunggang basikal sedang melintas jalan sebelum dilanggar oleh motosikal jenis Modenas ditunggangi seorang remaja berusia 18 tahun dari arah Merlimau Perdana menghala ke pekan Merlimau.

"Akibat kemalangan itu, penunggang basikal yang beralamat di Jalan Simen Batu Gajah telah meninggal dunia di tempat kejadian," katanya.

Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Unit Forensik Hospital Jasin untuk bedah siasat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.