SEREMBAN - Jumlah kes penipuan secara atas talian di Negeri Sembilan mencatatkan peningkatan melebihi 100 peratus antara Januari hingga Ogos tahun ini berbanding tempoh sama pada tahun lalu.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, kajian tersebut membabitkan empat jenis jenayah komersial iaitu pembelian atas talian, Parcel Scam, Macau Scam dan pinjaman wang yang tidak wujud.

"Sebanyak 286 kes dicatatkan pada tahun ini, berbanding 109 kes pada tahun sebelumnya bagi penipuan membabitkan pembelian atas talian.

"Peningkatannya sebanyak 177 kes. Jumlah kerugian direkodkan tahun ini sebanyak RM1,145,466.21 berbanding RM272,975 pada tahun lepas.

"Daerah yang banyak menyumbang dalam kes ini adalah Seremban daripada 48 kes kepada 112 kes, disusuli Nilai daripada 20 kes kepada 78 kes dan seterusnya Tampin daripada 12 kes kepada 24 kes," katanya.

Bagi Parcel Scam, kata beliau, didapati berlaku kenaikan sebanyak 11.6 peratus iaitu 67 kes pada tahun ini berbanding 60 kes pada 2016.

"Ini melibatkan kerugian berjumlah RM785,731.01 pada tahun ini berbanding RM1,122,902.40 pada tahun lepas," katanya.

Menurut Noor Azam, kajian seterusnya mendapati peningkatan daripada 22 kes kepada 84 kes atau sebanyak 281 peratus melibatkan penipuan Macau Scam antara dua tahun berkenaan.

"Jumlah kerugian tahun ini sebanyak RM1,695,968.74 manakala tahun sebelumnya RM158,736.30.

"Kita dapati daerah Seremban, Nilai dan Kuala Pilah menunjukkan peningkatan iaitu masing-masing dengan 45, 14 dan sembilan kes," katanya.

Jenis jenayah komersial keempat pula, katanya, membabitkan penipuan pinjaman wang yang tidak wujud.

"Statistik menunjukkan peningkatan sebanyak 203 peratus iaitu daripada 34 kes kepada 103 kes dengan jumlah kerugian sebanyak RM698,964.58 berbanding RM211,760 pada tahun lalu.

"Seremban, Nilai dan Tampin masih menerajui daerah yang lain dalam penglibatan kes sebegini. Masing-masing dengan 43, 17 dan 13 kes," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, kata Noor Azam, kadar penyelesaian bagi kesemua kes berkenaan dianggarkan sekitar 10 hingga 20 peratus berikutan polis memerlukan masa untuk mengesan si pelaku.

"Selalunya kes penipuan atas talian ini melibatkan mangsa yang berusia lingkungan awal 30an hingga lewat 40an. Salah satu punca mereka terjebak terutama dalam scam disebabkan kesunyian kerana mereka mahukan teman untuk berbicara.

"Jadi, kita nasihatkan orang ramai jangan mudah percaya dengan keuntungan datang bergolek kerana ada muslihat di sebaliknya yang boleh memudaratkan diri sendiri.

"Sekiranya orang ramai ada sebarang keraguan atau jadi mangsa penipuan, boleh hubungi polis di Pusat Penyiasatan dan Respons Jenayah Siber di talian 03-26101555 antara jam 8 pagi hingga 12 tengah malam," katanya.

 
Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • JOHOR BAHRU - Akibat tersilap langkah, seorang ibu tunggal akhirnya menanggung hutang lebih RM14,000 dengan keluarga terdekat selepas diperdaya sindiket pinjaman wang.
  • SEREMBAN - Seorang ibu tunggal dijatuhi hukuman penjara selama tiga bulan dari tarikh ditangkap oleh Mahkamah Majistret Seremban, di sini, semalam, selepas mengaku bersalah terlibat dalam penipuan secara dalam talian mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan.
  • SUBANG JAYA - Menjanjikan baucar penginapan secara percuma sebelum memperdaya mangsanya dengan menyertai skim pembelian mesin minuman layan diri yang berharga puluhan ribu ringgit.
  • JOHOR BAHRU - Sebanyak 31 kes penipuan melibatkan perancang perkahwinan diterima Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM Johor) dengan anggaran perjanjian mencecah RM300,000.
  • ALOR GAJAH - Seorang pemuda orang kurang upaya (OKU) dari Kampung Pengkalan Balak, dekat sini, kesal dan terkilan apabila seorang wanita yang didakwa meminjam wang daripadanya, masih gagal membayar semula wang berkenaan.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.