SEREMBAN - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Sembilan menyelamatkan 19 warga emas gelandangan dalam tempoh dua minggu program Bank Makanan (Food Bank) diadakan.

Exco Hal Ehwal Wanita, Keluarga dan Kebajikan, Nicole Tan Lee Koon berkata, mereka ditempatkan di pusat jagaan di bawah JKM dan ada yang berjaya dipujuk untuk pulang ke pangkuan keluarga.

Menurutnya, pihaknya mendapati kebanyakan daripada golongan berkenaan terpaksa memilih hidup sebagai gelandangan  berikutan mempunyai masalah keluarga.

“Pada minggu pertama program ini, daripada 36 gelandangan yang kita jumpa di sekitar Seremban, 14 daripadanya bersetuju tinggal di rumah kebajikan dan pada minggu kedua, daripada 21 gelandangan, lima daripadanya telah diselamatkan.

“Kita bukan sekadar beri makanan, tapi akan dapatkan maklumat diri mereka dan memujuk untuk tinggal di rumah kebajikan disediakan. Tapi saya tak nafikan ada sebahagian daripada mereka lebih selesa hidup sebagai gelandangan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat tapak projek Rumah Seri Kenangan yang turut dihadiri Pengarah JKM negeri, Mohamad Hapil dan Jurutera Jabatan Kerja Raya Daerah Seremban, Mohd Kamal Yusof di Jalan Han Hui Foong di sini, semalam.

Beliau berkata, sokongan dan perhatian daripada keluarga amat penting bagi membantu golongan berkenaan untuk mendapat kehidupan lebih baik.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan buat julung kalinya, kerajaan negeri mewujudkan program Bank Makanan bagi membantu golongan kurang bernasib baik termasuk gelandangan.

Menteri Besar, Aminuddin Harun berkata, melalui bantuan berkenaan, individu yang susah termasuk gelandangan yang tidak mempunyai punca pendapatan tetap akan diberi bantuan makanan secara berterusan.

Dalam pada itu mengenai lawatan diadakan beliau yang juga Adun Bukit Kepayang berkata, projek naik taraf dan membangunkan semula rumah kebajikan di bawah JKM itu kini telah siap 48 peratus.

“Projek yang melibatkan kos RM37 juta ini bermula 27 Februari tahun lalu dan dijangka siap 26 Jun 2019.

“Tapi, saya dapati kemajuan kerjanya kurang memberangsangkan disebabkan ada beberapa masalah teknikal. Jadi, saya berharap dalam tempoh tiga bulan bermula hari ini (semalam) projek ini dapat siap 75 peratus,” katanya.