JEMPOL - Polis masih belum mengenal pasti identiti rangka dan tengkorak manusia yang ditemui di sebuah kebun getah berhampiran Jalan Rompin - Pasir Besar Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Muhd Nur Hishamuddin berkata, bagaimanapun  pihaknya telah mengambil contoh darah dipercayai ahli keluarga terdekat mangsa untuk bantu siasatan.

"Ini bagi membolehkan ujian DNA dijalankan sekaligus mengenal pasti status rangka dan tengorak itu.

"Ujian DNA itu mengambil masa lebih kurang dua minggu sebelum mengetahui sama ada rangka dan tengkorak itu milik ahli keluarga mereka," katanya.

Muhd Nur Hishamuddin berkata, kes masih lagi diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan seorang pemilik kebun getah bersama rakannya menemui rangka dan tengkorak berkenaan selepas terhidu bau busuk yang sebelumnya disangkakan bangkai babi dan dipercayai lebih seminggu.