AYER KEROH - Keberanian seorang wanita yang sanggup meredah api demi menyelamatkan anak dalam satu insiden kebakaran di Kuala Sungai Baru, Ogos tahun lalu, menerima penghargaan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Melaka, semalam.

Salmah Hasan, 31, yang ditemani suami serta dua anaknya berusia 9 dan 6 tahun menerima sijil penghargaan yang disampaikan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia negeri, Kamarulzaman Malik Abdullah sempena Majlis Perbarisan Tahunan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Melaka di Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Keroh, di sini, semalam.

Kamarulzaman berkata, pihaknya kagum dengan keberanian ibu muda terbabit yang sanggup menggadaikan nyawa demi untuk menyelamatkan dua orang anak termasuk suami yang sakit.

“Biarpun dia seorang wanita namun sanggup meredah kebakaran untuk menyelamat nyawa anaknya sehingga mengalami luka. Sikap berani itu patut dijadikan contoh kepada masyarakat kita pada hari ini,” katanya.

Sinar Harian pada 10 Ogos lalu menyiarkan kisah Salmah yang menghidap sakit tiroid, terpaksa menahan kesakitan akibat melecur di kaki dan badan selepas menyelamatkan anak sulungnya, seorang murid sekolah pendidikan khas, Puteri Nur Aisyah Husni, 9, yang ketika itu berada dalam sebuah bilik sedang terbakar di Taman Desa Bayu, Kuala Sungai Baru.

Dia turut menolak suaminya yang menghidap sakit kanser buah pinggang dan terpaksa menggunakan kerusi roda ke bilik air sebelum terdengar jeritan anak dari bilik tersebut.

Menurut Salmah, anaknya itu dipercayai bermain ubat nyamuk dalam bilik utama rumah dua bilik itu sebelum api merebak ke arah beberapa tilam yang disusun dalam bilik air yang telah dijadikan stor.

“Walaupun mengalami kesakitan ketika itu dan sehingga sekarang kesan melecur itu masih ada namun saya bersyukur anak-anak dan suami selamat,” katanya ketika ditemui semalam.

Pada majlis itu juga, dua wartawan Sinar Harian Melaka, Amran Ali dan Nor Farhana Ya'acob antara pengamal media yang menerima sijil penghargaan daripada bomba.