• Bas yang mereka naiki terbabas ke bahu jalan. Bas yang mereka naiki terbabas ke bahu jalan.
  • Keadaan lori yang membawa muatan batu. Keadaan lori yang membawa muatan batu.
1 /

NILAI – Kegembiraan murid Sekolah Kebangsaan Petasih, Jelebu bercuti ke Perak sempena cuti persekolahan yang bermula semalam bertukar tragedi selepas bas dinaiki mereka dirempuh sebuah lori di Jalan Batang Benar, Nilai berhampiran stesen Komuter Batang Benar, semalam.

Kejadian jam 8.30 pagi itu menyebabkan dua murid berusia 11 tahun cedera parah manakala 23 lagi hanya mengalami cedera ringan.

Jurucakap polis berkata, bas terbabit dipercayai dalam perjalanan dari arah Mantin menuju ke Nilai dengan membawa 33 penumpang terdiri daripada murid berusia sembilan hingga 12 tahun termasuk tiga guru pengiring.

“Sejurus tiba di lokasi, sebuah lori membawa muatan batu yang keluar dari sebuah kuari di tempat kejadian tiba-tiba hilang kawalan lalu merempuh bahagian kiri tepi bas.

“Pelanggaran itu menyebabkan bas terbabit terbabas ke bahu jalan manakala lori yang dipandu lelaki berusia 25-an itu terbalik,” katanya.

Menurutnya, kejadian itu mengakibatkan  dua murid mengalami cedera parah kerana tercampak di dalam bas manakala 23 lagi murid hanya cedera ringan.

Kata jurucakap polis lagi, pemandu lori terbabit hanya mengalami cedera ringan dan kini telah ditahan untuk siasatan lanjut.

“Semua mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) untuk mendapatkan rawatan dan dua murid yang cedera parah pula kini dilaporkan stabil,” katanya.

Sementara itu, salah seorang mangsa, Nashriq Haikal Rahim, 12, berkata, ketika kejadian dia sedang tidur namun dikejutkan oleh bunyi dentuman yang kuat.

“Saya tidak nampak apa yang berlaku tapi saya rasa macam ada kenderaan lain melanggar bas kami menyebabkan saya terhempap kawan yang duduk di sebelah,” katanya.

Ketua Polis Daerah Nilai Superintendan Yusof Awang mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian berkenaan.