BANDARAYA MELAKA - DAP Melaka akan bertanding di lapan kerusi Dun serta satu kerusi Parlimen pada PRU14 ini.

Mendahului senarai calon adalah Ketua Pembangkang Melaka juga Setiausaha DAP Melaka, Khoo Poay Tiong yang akan bertanding di Parlimen Kota Melaka.

Ketika mengumumkan senarai calon berkenaan, Pengerusi DAP, Tan Kok Wai turut memberitahu bahawa Pengerusi DAP Melaka, Tey Kok Kiew akan mempertahankan kerusi Dun Banda Hilir yang dimenanginya pada PRU13.

Untuk Dun Kota Laksamana, DAP Melaka menurunkan Bendaharinya, Low Chee Leong manakala Setiausaha Organisasi, Seah Shoo Chin akan merebut kerusi Dun Kesidang sementara Damian Yeo diturunkan di Dun Duyong.

Timbalan Pengerusi DAP melaka, Norhizam Hassan Baktee akan bertanding di Dun Pengkalan Batu manakala Naib Pengerusi Dap Melaka, G Saminathan mencuba nasib di Dun Gadek dan Dr Wong Fort Pin pula di Dun Bemban. Untuk PRU14 ini, DAP Melaka turut menurunkan anak kepada bekas Ahli Parlimen Kota Melaka, Kerk Kim Hock, iaitu Kerk Chee Yee, 26, yang akan bertanding di Dun Ayer Keroh.